Pelaksanaan perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) Telekom Malaysia Berhad (TM) diteruskan, dengan perkhidmatan kini diperluaskan ke Melaka lebih awal daripada yang dijadualkan bagi negeri tersebut iaitu pada tahun 2012, menunjukkan satu lagi pencapaian bersejarah dalam perancangan pelaksanaan perkhidmatan berkenaan.
Perkhidmatan tersebut telah dilancarkan oleh Y.A.B Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, dan disaksikan oleh Y.B. Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Dr. Halim Shafie, Pengerusi, TM dan Datuk Bazlan Osman, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, TM.
Mengulas mengenai pelancaran tersebut, Datuk Dr. Halim berkata, “Sebagai pembekal perkhidmatan HSBB yang pertama dan terulung di Malaysia, TM bangga untuk melancarkan perkhidmatan UniFi kami di Melaka lebih awal daripada apa yang dijadualkan. Bagi pihak TM, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Y.A.B Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam atas sokongan padu beliau, kerana di bawah kepimpinannya, Kerajaan Negeri Melaka telah memberi kami kepercayaan untuk memenuhi keperluan jalur lebar rakyat negeri Melaka dan membawakan gaya hidup digital yang dipertingkatkan dan bersepadu ke kediaman warga Melaka dengan adanya perkhidmatan UniFi.”
“Sekalung penghargaan juga kami ucapkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan atas komitmen mereka terhadap pelaksanaan projek jalur lebar nasional ini di bawah Perjanjian Awam-Swasta (PPP). Pencapaian yang kita lihat di Melaka ini menjadi bukti kepada aspirasi kami untuk menjadi rakan usahasama komunikasi pilihan kepada sektor Kerajaan,” tambah Datuk Dr. Halim.
Dengan pelancaran ini, TM kini secara rasminya telah membawa UniFi ke negeri Melaka dan warga Melaka telah mula menikmati perkhidmatan UniFi sejak 15 Julai, bermula dengan penduduk di kawasan Malim. Menjelang akhir tahun, perkhidmatan tersebut akan ditawarkan kepada lebih daripada 5,600 premis di 15 kawasan perumahan yang dihubungkan kepada ibu sawat Malim.
Pada tahun 2012, liputan akan diperluaskan ke ibu sawat Tangga Batu, dengan pelaksanaan seterusnya ke kawasan lain secara berperingkat-peringkat.
“Kerajaan Negeri Melaka gembira kerana kini perkhidmatan HSBB berada di sini dan boleh dinikmati oleh masyarakat di Melaka. Kami berasa amat sukacita untuk bekerjasama dan berkolaborasi dengan TM untuk membolehkan pelaksanaan UniFi di Melaka dibawa ke tarikh yang lebih awal daripada tarikh perancangan asal di bawah PPP sebelum ini. Saya berharap penawaran UniFi akan menggalakkan lagi penggunaan ICT di kalangan warga tempatan, dan ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri sebagai Bandar Teknologi Hijau,” kata Datuk Seri Haji Mohd Ali Rustam.
“Projek HSBB merupakan satu inisiatif infrastruktur utama negara yang diperlukan untuk memastikan daya saing Malaysia di rantau ini. Ia merupakan pemangkin bagi melonjakkan Malaysia ke era Ekonomi Berasaskan Pengetahuan atau K-Ekonomi, di mana kita menggunapakai Teknologi Maklumat untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara. HSBB juga akan memacu pertumbuhan industri tempatan dalam bidang kandungan, multimedia kreatif, e-dagang dan teknologi maklumat. Secara tidak langsung, ini juga akan membantu menarik minat pembekal kandungan atau ‘content providers’ antarabangsa untuk menempatkan operasi mereka di Malaysia dan seterusnya membantu negara menjimatkan kos jangka masa panjang bagi segmen pengguna dan perniagaan,” kata Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz.
Selain daripada UniFi, TM juga meluaskan liputan perkhidmatan WiFi di negeri ini, dengan peningkatan lokasi TM WiFi daripada 700 kepada lebih daripada 1,200 lokasi ‘hotspot’ TM WiFi menjelang akhir tahun. TM juga memainkan peranan utama dalam usaha untuk meningkatkan penembusan jalur lebar kepada sejumlah 87,000 isi rumah di Melaka.
Pelaksanaan pelbagai perkhidmatan TM di negeri ini melambangkan sokongan Syarikat terhadap sasaran Kerajaan Negeri Melaka untuk menggalakkan penggunaan ICT secara menyeluruh di kalangan penduduk dengan menonjolkan Melaka sebagai salah satu daripada negeri termaju dari segi penggunaan, kesediaan dan akses kepada perkhidmatan berasaskan ICT. Ini sejajar dengan komitmen TM untuk menjadi rakan usahasama pilihan kepada sektor awam.
Pada masa ini, UniFi ditawarkan di 72 kawasan ibu sawat dan jumlah premis sedia dipasang telah mencecah sebanyak 937,000 premis setakat 26 Julai 2011. Kawasan-kawasan ini termasuklah 60 kawasan di Lingkaran Dalam Lembah Klang dan juga Nusajaya di Iskandar Malaysia dan kawasan-kawasan perindustrian di seluruh negara, termasuk 1 di Melaka, 3 di Pulau Pinang, 1 di Kedah, 6 di Johor dan 1 di Negeri Sembilan. TM berkedudukan baik untuk mencapai sasaran 1.3 juta premis sedia dipasang menjelang akhir 2012.
Perkhidmatan UniFi kini ditawarkan melalui tiga pakej kediaman dan tiga pakej perniagaan. Pakej-pakej kediaman tersebut adalah VIP5 pada kadar RM149 sebulan, VIP10 pada RM199 sebulan dan VIP20 pada RM249 sebulan. Setiap pakej didatangkan dengan perkhidmatan suara, Internet Berkelajuan Tinggi dan IPTV.
Sementara itu, pakej-pakej perniagaan yang ditawarkan adalah BIZ5 pada kadar RM199 setiap bulan, BIZ10 pada kadar RM599 setiap bulan dan juga BIZ20 pada kadar RM899 setiap bulan. Setiap pakej ini didatangkan dengan pelan panggilan, Internet Berkelajuan Tinggi dan pelbagai perkhidmatan nilai tambah.
Ditandatangani pada bulan September 2008, projek nasional HSBB yang bernilai RM11.3 bilion merupakan Perjanjian Awam Swasta di antara TM dan Kerajaan Malaysia untuk membangunkan dan melaksanakan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi untuk negara.
Untuk senarai lengkap kawasan liputan perkhidmatan UniFi dan kesediaan perkhidmatan, www.tm.com.my .
Click here for English version