Di majlis menandatangani perjanjian itu, TM telah diwakili oleh Dato’ Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM manakala Mohd. Jafar Abd. Majid, Presiden NUTE mewakili kesatuan tersebut. Majlis tersebut telah disaksikan oleh Tuan Haji Md. Yunus Razally, Ketua Pengarah, Jabatan Perhubungan Perusahaan, yang mewakili YB Datuk Dr. S. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia.
Majlis hari ini turut menyaksikan CA ditandatangani dengan anak-anak syarikat TM yang tertakluk di bawah perjanjian yang sama iaitu TM Info-Media Sdn. Bhd. (TMIM) dan TM R&D Sdn. Bhd. (TM R&D).
Selain NUTE, anggota-anggota bukan eksekutif TM turut diwakili oleh Kesatuan Pekerja Telekomunikasi Sabah (SUTE) dan Kesatuan Pekerja Telekomunikasi Sarawak (UTES).
Bercakap di majlis tersebut, Dato’ Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, “Selaras dengan semangat 1Malaysia, kami di TM turut berpegang dengan prinsip kami iaitu 1TM. Konsep Berfikiran Satu Syarikat (One Company Mindset) ini menjadi asas hubungan baik antara Pengurusan dan Kesatuan Sekerja di TM. Konsep 1TM ini telah berjaya diterjemahkan dengan amat baik oleh kedua-dua pihak dan hasilnya, perundingan Perjanjian Bersama antara Syarikat dengan NUTE, SUTE dan juga UTES berjaya diselesaikan dan mencapai kesimpulan secara harmoni dan saksama.”
Mengulas tentang perjanjian berkenaan, Tuan Haji Md. Yunus, bagi pihak Menteri, memuji penyelesaian CA tersebut yang berjalan lancar dan beliau yakin ini merupakan langkah yang baik ke arah menerapkan budaya prestasi tinggi di dalam Syarikat dengan pelaksanaan Sistem Ganjaran Berdasarkan Prestasi (Performance Link Wage System – PLWS) untuk faedah pelanggan, pemegang saham dan anggota.
Tuan Haji Md. Yunus berkata, “Hubungan yang harmoni di antara anggota dan Pengurusan Syarikat, seperti yang dibuktikan oleh TM dan kesatuan pekerjanya, pasti akan membuahkan hasil yang baik apabila warga kerjanya dapat bekerja dengan penuh semangat kerjasama, memahami antara satu sama lain, sekaligus menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi. Ini seterusnya akan menyumbang kepada pencapaian cemerlang sesebuah Syarikat serta memberikan kesan langsung terhadap pembangunan ekonomi negara.”
“Untuk makluman anda, pihak Kerajaan, menerusi Kementerian Sumber Manusia sudah lama memberikan penekanan kepada konsep PLWS ini. Konsep ini telah dijadikan sebagai salah satu elemen terpenting di dalam beberapa dasar Kerajaan seperti Dasar Wawasan Negara, Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga, Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010). Oleh itu, persetujuan yang dicapai antara TM dan NUTE serta SUTE di Sabah, sebenarnya selari dengan hala tuju Kerajaan dan bertepatan dengan kehendak dunia perniagaan mahupun persekitaran pentadbiran hari ini,” tambah Tuan Haji Md. Yunus.
Dengan selesainya perjanjian itu, TM dan NUTE telah bersetuju dengan 6 terma utama dalam CA tersebut seperti berikut:
Selain perubahan-perubahan utama dalam CA ke-8 ini, anggota-anggota bukan eksekutif juga akan menerima kenaikan dalam elaun-elaun mereka seperti Elaun Makan, Penginapan, Memandu, Syif, Menunggu Panggilan, Sewa Rumah, Kediaman, Kesusahan, Mengajar dan Elaun Memangku.
Mewakili NUTE, Mohd. Jafar Abd. Majis berkata, “NUTE ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan TM, terutamanya Dato’ Zamzamzairani dan Ketua Pegawai Modal Insan, TM, Mohd. Khalis Abdul Rahim, kerana telah memberi sokongan dan kelulusan yang menghasilkan Perjanjian Bersama yang boleh dianggap yang terbaik, walaupun dalam keadaan operasi Syarikat sedang menghadapi saingan dan cabaran yang sengit. Kami juga merasakan penganugerahan “Anugerah Majikan Prihatin” bagi kategori Syarikat Besar kepada TM baru-baru ini sempena sambutan Hari Pekerja 2010 amatlah tepat sekali apabila kita melihat hasilnya dengan termeterainya Perjanjian Bersama pada hari ini.”
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kepimpinan NUTE kerana turut sama menghayati prinsip Syarikat yang mengutamakan pelanggan (Customer Centricity) apabila secara terbukanya telah menerima cadangan pihak pengurusan bagi melaksanakan jadual kerja anjal kepada kumpulan kerja tertentu. Ini akan banyak membantu Syarikat khususnya dalam memenuhi kehendak dan permintaan pelanggan terhadap perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) yang telah dilancarkan secara rasminya pada 24 Mac 2010 oleh YAB Perdana Menteri kita,” akhiri Dato’ Zamzamzairani.
TM sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan kesatuan-kesatuan untuk para anggota bukan eksekutifnya menerusi komunikasi terbuka secara kerap dengan semua pihak. Interaksi ini, termasuklah sesi dialog, mesyuarat dan lawatan ke tempat kerja telah membolehkan TM dan kesatuan-kesatuan mencapai kata sepakat serta menyelesaikan kebanyakan isu-isu berkaitan faedah dan kebajikan para anggota.
Click here for English version