Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab. Telekom Malaysia Berhad (TM) selama lebih dari sedekad, telah seringkali menaja barangan untuk kegunaan jemaah Haji. Tahun ini, para jemaah yang didaftarkan dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) dan dijadualkan menunaikan Haji di Mekah menerima pouch bag, ihram, tikar plastik dan kad panggilan prabayar iTalk yang bernilai RM5, yang disumbangkan oleh TM. Diharapkan perjalanan para jemaah akan lebih selesa dengan sumbangan ini.
Selain itu, TM telah menganjurkan kursus intensif khas untuk anggota TM yang bertugas di Lembah Klang, yang dijadualkan menunaikan ibadah haji tahun ini. Kursus ini disasarkan untuk memantapkan lagi kefahaman dan ilmu pengetahuan setiap bakal haji / hajjah warga Kumpulan TM yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini, supaya mereka dapat mengerjakan ibadah haji dengan lebih sempurna dan dikurniakan oleh Allah S.W.T dengan haji yang mabrur.
Seramai 115 orang telah menyertai kursus tersebut yang telah disampaikan oleh pensyarah jemputan khas, Tuan Haji Mohd Razali Zakaria, Pengurus Penerbitan Haji, Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH).
Berucap di majlis perasmian pembukaan kursus tersebut adalah Datuk Bazlan Osman, Pengarah Eksekutif / Ketua Pegawai Kewangan, TM merangkap Yang Dipertua Badan Kebajikan Islam (BAKIT) Pusat yang berkata, “Kursus ini merupakan anjuran bersama Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT) bersama-sama dengan Unit Hal Ehwal Islam, Employee Engagement Group, Pengurusan Modal Insan, TM. Objektif kita menganjurkan Kursus Intensif Ibadah Haji ini adalah sebagai tanda sokongan dan keprihatinan Syarikat terhadap kebajikan anggotanya, termasuklah dalam aktiviti-aktiviti ibadah. Ia juga sebagai meraikan bakal-bakal jemaah haji di kalangan anggota TM melalui penyerahan sumbangan keperluan haji. Aktiviti-aktiviti sebegini sebenarnya telah lama TM jalankan di kalangan anggota-anggota bakal haji kita.”
Di samping itu, para peserta turut diberi taklimat mengenai produk i-Talk dan Malaysia Direct bagaimana untuk berhubung / berkomunikasi dengan keluarga masing-masing sepanjang mengerjakan fardu haji di Mekah nanti dengan kadar panggilan yang lebih murah dan menjimatkan. Sempena dengan musim Haji tahun ini, jemaah dapat menikmati kadar panggilan iTalk terendah dari 60 sen seminit dari Malaysia ke Arab Saudi dan RM1.20 seminit untuk panggilan dari Arab Saudi ke Malaysia.
Dengan kad panggilan prabayar iTalk, para jemaah hanya perlu mendial 1800 60 atau 1 800 69 dari talian tetap apabila membuat panggilan ke Malaysia, turuti arahan yang diberi dan caj panggilan akan ditolak dari nilai kredit kad tersebut.
Pihak TM akan menyediakan kaunter promosi dan jualan di lokasi-lokasi kursus Haji seluruh negara, Tabung Haji Kelana Jaya, lapangan terbang pelepasan para Jemaah Haji di seluruh negara. Untuk kemudahan para jemaah, wakil-wakil jualan TM akan berada di lokasi strategik di Mekah dan Madinah untuk membantu aspek jualan dan masalah teknikal produk iTalk.
TM telah menyumbang kepada jemaah Haji melalui Tabung Haji sejak tahun 1995 lagi,. Setelah 16 tahun bekerjasama, jumlah sumbangan setakat ini bernilai lebih dari RM11 juta. Sebagai sebuah organisasi korporat yang bertanggungjawab, TM akan sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan dan agensi-agensinya di dalam menaja usaha-usaha khidmat masyarakat.
Click here for English version