Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini menjalin dua (2) Perjanjian Usahasama dengan Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd (KJS) dan D’Harmoni Telco Infra Sdn Bhd (D’Harmoni) secara berasingan untuk menawarkan Perkhidmatan Perhubungan ke pengendali rangkaian yang menggunakan perkhidmatan menara telekomunikasi KJS dan D’Harmoni.
Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Rafaai Samsi, Naib Presiden Eksekutif, Wholesale bagi pihak TM manakala KJS diwakili oleh Datin Zawati Abd Rahman, Pengarah Kewangan dan Pentadbiran, KJS dan D’Harmoni diwakili oleh Haji Sukarno Bin Sayuti, Ketua Pegawai Eksekutif, D’Harmoni.
Di bawah perjanjian 5 tahun ini, pihak-pihak terbabit komited untuk menggunakan kecekapan teras mereka dalam menawarkan perhubungan ‘backhaul’ dan perkhidmatan menara telekomunikasi bagi menyokong keperluan keupayaan yang lebih besar dan liputan yang lebih luas untuk industri telekomunikasi. KJS dan D’Harmoni akan membekalkan perkhidmatan telekomunikasi (menara) dan TM akan membekalkan perkhidmatan Wholesale Ethernet dan HSBB (Transmisi) ke tapak-tapak menara tersebut dengan kelajuan sehingga 1Gbps. TM telah mengenalpasti ebanyak 100 ke 150 tapak menara yang berpotensi telah di kenalpasti di Johor dan Selangor.
“Usahasama TM dengan KJS dan D’Harmoni akan secara tidak langsung membenarkan pengendali-pengendali rangkaian seperti pengendali Mudah-alih dan WiMAX untuk menggunakan rangkaian TM untuk meningkatkan penawaran perkhidmatan mereka kepada para pelanggan di seluruh negara, lebih-lebih lagi dalam penggunaan jalur lebar mudah-alih. Ini selari dengan aspirasi Kerajaan untuk membolehkan lebih ramai orang menikmati faedah penggunaan jalur lebar menerusi perkongsian infrastruktur di kalangan pengendali rangkaian,” kata Dato’ Adnan Rofiee.
Menurut Dato’ Adnan, usahasama ini akan memberi faedah kepada pembekal rangkaian yang lain untuk menggunakan infrastruktur TM, termasuk rangkaian HSBB, untuk menguatkan lagi kedudukan mereka sebagai pembekal perkhidmatan pukal yang neutral dan melengkapkan perlaksanaan perkhidmatan yang dilengkapi HSBB kepada negara.
“Menerusi usahasama KJS dengan TM Wholesale, kami melihat peluang untuk mendaki ke rantaian nilai yang seterusnya dengan membekalkan perkhidmatan Perhubungan kepada pengguna sedia ada dan berpotensi kami,” kata Senator Dato’ Ikhwan Salim Dato’ Sujak.
“Kami berbangga menjadi rakan usahasama yang pertama untuk bekerjasama untuk mempromosikan perkhidmatan Perhubungan termasuk perkhidmatan HSBB yang baru. Seperti TM, kami juga menitikberatkan kerjasama untuk mencapai aspirasi jalur lebar negara,” kata Dato’ Punijan Sutarjo, Pengerusi D’Harmoni.
TM menjangka untuk bekerjasama dengan pemilik dan pengendali menara telekomunikasi yang lain dalam negara tahun ini. Menerusi usahasama strategik dengan rakan usahasama Wholesale, TM akan terus memainkan peranan sokongan yang penting untuk mencapai kadar sasaran penembusan jalur lebar Kerajaan sebanyak 50% pada akhir 2010.
“Kami menjangka bahawa terdapat banyak minat dalam industri ini. Kami sedang berbincang dengan pengendali menara yang lain dan akan membuat pengumuman apabila ianya diputuskan kelak,” tambah Dato’ Adnan.
Perkhidmatan Wholesale Ethernet dan HSBB (Transmisi) TM adalah berkelajuan tinggi, mempunyai kadar penskalaan yang tinggi dan membolehkan penawaran perkhidmatan masa depan untuk para pengguna pukal yang inginkan lebar jalur yang lebih fleksibel dan mempunyai pelbagai pilihan kelas dan kualiti perkhidmatan. Perkhidmatan ini membenarkan pengendali rangkaian untuk meluaskan rangkaian mereka menurut rancangan perluasan perniagaan tersendiri dan membolehkan mereka menyokong pelbagai IP dan aplikasi Rangkaian Masa Depan.
Perkhidmatan HSBB (Transmisi) akan dibekalkan kepada para pelanggan Wholesale yang mempunyai keperluan kapasiti lebar jalur yang besar dan memerlukan tahap jaminan perkhidmatan yang dipertingkatkan untuk rangkaian ‘backhaul’ mereka serta perkhidmatan video dan pengangkutan data. Ianya melibatkan perhubungan komunikasi data di antara lokasi transmisi menerusi sirkit maya. Di bawah perkhidmatan tersebut, para pelanggan dapat melanggani kapasiti lebar jalur di antara 20Mbps dan 1Gbps, dengan peningkatan setiap 10Mbps.
Mengenai TM
Telekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.
Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembangunan sukan dan pembinaan masyarakat/negara. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Dari aspek sukan, TM menyumbang secara aktif ke arah meningkatkan taraf bola sepak tempatan di seluruh peringkat manakala di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility untuk kategori Tempat Kerja bagi tahun 2008.
Click here for English version