Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini telah menganjurkan Karnival Sukan tahunannya di Pusat Rekreasi Air Balok, di Kuantan, Pahang. Acara yang berlangsung selama tiga hari itu iaitu dari 31 Julai sehingga 2 Ogos 2009, dianjurkan oleh Kelab TM Pahang. Ianya telah menarik penyertaan 1,200 anggota TM dari seluruh Malaysia, yang akan bertanding dalam beberapa acara sukan.
Acara ini yang dianjurkan setiap tahun oleh Kelab TM dengan objektif untuk menghimpunkan anggota-anggota dari pejabat-pejabat TM di seluruh negara bagi merapatkan silaturrahim sesama mereka justeru menerapkan perpaduan dan semangat berdaya saing di kalangan anggota TM. Setiap tahun, Kelab TM dari negeri yang berbeza akan menjadi tuan rumah bagi acara sukan ini di negeri masing-masing di mana tahun lepas, karnival ini telah diadakan di Lumut, Perak. Karnival ini juga memberi peluang untuk anggota-anggota TM bertemu sahabat dan rakan kerja mereka dari negeri-negeri lain.
Majlis pembukaan Karnival Sukan TM telah dirasmikan oleh Y.B. Dato’ Haji Wan Adnan Wan Mamat, Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Pahang. Turut hadir di majlis tersebut ialah Tan Sri Dato’ Ir. Md. Radzi Mansor, Pengerusi TM, Dato’ Zamzamzairani Mohd. Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Dato’ Haji Wan Danial Wan Ibrahim, Pengurus Besar Negeri, TM Pahang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur karnival sukan ini, serta pegawai-pegawai kerajaan negeri Pahang dan pengurusan kanan Kumpulan TM.
Bercakap di majlis pembukaan karnival berkenaan, Tan Sri Dato’ Ir. Md. Radzi Mansor, berkata, “Pada setiap tahun kita berkumpul di Karnival Sukan TM, di mana matlamat utamanya adalah untuk mengeratkan hubungan semua warga kerja TM dari seluruh negara. Seperti yang kita maklum, aktiviti-aktiviti sukan memainkan peranan penting dalam membentuk tenaga kerja yang cergas dan cerdas sama ada dari segi rohani mahupun jasmani. Diharapkan Karnival Sukan ini dapat menyemai semangat berpasukan di kalangan anggota kita yang mengambil bahagian dalam setiap acara.”
“Kita perlulah sedar bahawa acara-acara sukan yang dipertandingkan ini bukanlah sekadar untuk memenuhi tuntutan program yang bercorak rekreasi dan kecergasan semata-mata. Justeru itulah, Syarikat sentiasa memberi galakan dan motivasi kepada semua anggota untuk meningkatkan kecergasan diri. Kami berharap Karnival Sukan TM ini akan dapat melahirkan anggota yang mantap daripada segi fizikal dan mental yang seterusnya menyumbang ke arah peningkatan produktiviti kerja,” tambah beliau.
Sejumlah 14 kontinjen yang diwakili oleh anggota-anggota TM dari semua negeri di Malaysia akan mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Karnival ini akan mempertandingkan sembilan acara sukan – bola sepak pantai, bola jaring pantai, bola tampar pantai, ping pong, sepak takraw, badminton, dart, bowling serta Kuantan Challenge iaitu satu cabaran mini marathon. Pihak penganjur juga telah menyusun pelbagai aktiviti lain bagi mewujudkan suasana karnival yang menyeronokkan.
Selain bertanding dalam aktiviti-aktiviti sukan dan karnival, anggota-anggota TM juga dihiburkan dengan majlis makan malam gala bertemakan ‘dangdut’. Bukan sahaja dihidangkan dengan menu yang lazat, para peserta juga boleh menantikan satu malam yang ceria dan menghiburkan dengan persembahan-persembahan daripada kugiran, persembahan kontinjen, persembahan kebudayaan, cabutan bertuah dan hadiah misteri untuk para tetamu.
Mengenai TM
Telekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.
Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembangunan sukan dan pembinaan masyarakat/negara. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Dari aspek sukan, TM menyumbang secara aktif ke arah meningkatkan taraf bola sepak tempatan di seluruh peringkat manakala di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility untuk kategori Tempat Kerja bagi tahun 2008.
Click here for English version