Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini melancarkan fasa kedua “Projek Sekolah Angkat Bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) & TM” di Jelebu, Negeri Sembilan. Pelancaran ini menandakan bermulanya program di mana tiga buah sekolah dijadikan sekolah angkat untuk tempoh tiga tahun dari Julai 2009 sehingga Julai 2012. Sekolah-sekolah tersebut ialah:
Program tersebut telah dilancarkan oleh Y.B. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Bercakap pada majlis pelancaran yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Teriang, Dato’ Zamzamzairani Mohd. Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM berkata, “Sememangnya pendidikan merupakan bidang yang amat penting dalam membentuk sebuah masyarakat maju. Menyedari akan hakikat inilah, TM terus memainkan peranannya dalam melaksanakan Tanggungjawab Korporatnya untuk masyarakat dengan mengambil sekolah-sekolah berkenaan sebagai sekolah angkat bersama KPKK ke arah melengkapkan golongan pelajar luar bandar dengan ilmu teknologi maklumat. Program ini mempunyai objektif yang dijuruskan kepada tiga aspek iaitu untuk memperkenalkan penggunaan ICT dalam bidang pembelajaran, memperkenalkan sekolah sebagai pusat komuniti untuk penyebaran ilmu ICT serta merapatkan jurang digital. Program-program sebegini menggambarkan komitmen TM terhadap pembangunan negara, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dari segi sosial. TM, sebagai syarikat komunikasi terkemuka, akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi negara.”
Y.B. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata, “Saya percaya budaya kecemerlangan haruslah dipupuk dan dibajai dengan penuh tanggungjawab, terutamanya dalam memperkasakan keupayaan perlaksanaan. Sudah tentulah paling elok sekali sekiranya budaya-budaya murni ini kita terapkan di peringkat akar umbi, iaitu melalui pendidikan di sekolah-sekolah sebagai pusat paling strategik dalam suasana pembelajaran. Kita sedia maklum bahawa kita perlu terus berusaha untuk maju sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dunia dalam era siber ini. Lantaran demikian, kerajaan bertekad untuk terus membangun serta mempertingkatkan penguasaan teknologi ICT dengan mengimplementasikan pelbagai program yang berasaskan penyebaran pengetahuan teknologi maklumat.”
“Diharapkan agar para pelajar serta tenaga pengajar mahupun masyarakat setempat dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan komputer dan sambungan Internet ini serta mendapat manfaat daripada aktiviti-aktiviti yang dianjurkan termasuklah kursus-kursus pembangunan jati diri dan ceramah motivasi,” jelas Dato’ Zamzamzairani lagi.
Di bawah program ini, kemudahan IT dan infrastruktur telekomunikasi di ketiga-tiga sekolah tersebut akan dinaik taraf. Selain itu, aktiviti-aktiviti pembelajaran seperti kelas-kelas komputer juga akan diadakan untuk para guru, pelajar dan juga masyarakat di kawasan tersebut. TM akan menyumbangkan 10 komputer tambahan lengkap dengan sambungan jalur lebar Streamyx wayarles untuk Sekolah Kebangsaan Teriang.
Pada awal bulan ini, TM telah mula menganjurkan kelas-kelas Literasi IT untuk para pelajar Sekolah Kebangsaan Teriang bagi mendedahkan mereka dengan pengetahuan ICT dan aplikasi Internet. TM akan terus mengadakan program-program latihan yang berkesan buat para pelajar dan guru-guru yang meliputi asas-asas komputer, Internet, pembangunan web dan banyak lagi.
Program sekolah angkat ini merupakan kesinambungan dari projek “Sekolah Angkat” yang pertama dijalankan dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi pada masa itu pada tahun 2004. Di bawah projek pertama tersebut, TM telah mengambil Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas di Jeli, Kelantan (SMK Ayer Lanas) sebagai sekolah angkatnya selama tiga tahun bermula Januari 2004 hingga Januari 2006.
Projek pertama tersebut terbukti membuahkan hasil apabila penggunaan komputer di kalangan para pelajar SMK Ayer Lanas telah meningkat kepada 80% sepanjang 3 tahun projek itu berjalan. Projek tersebut juga menyaksikan beberapa pencapaian penting seperti peningkatan bilangan pelajar sekolah itu yang mendapat keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM dan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan daripada 11 orang pelajar pada tahun 2004 kepada 20 orang pada tahun 2006. Selain itu, sekolah berkenaan turut mendapat tempat keempat dalam pertandingan Rekabentuk Laman Web terbaik di Kelantan pada tahun 2005 dan seterusnya pada tahun 2006, sekolah tersebut mendapat tempat ketiga dalam pertandingan yang sama.
TM turut mempunyai inisiatif-inisiatif lain bagi menyokong pendidikan dan pembangunan masyarakat. Mulai tahun 2005, TM melibatkan diri dalam program Promoting Intelligence, Nurturing Talent and Advocating Responsibility atau PINTAR, sebuah program yang dicetuskan oleh Kementerian Kewangan dan diterajui oleh Khazanah Nasional bersama-sama dengan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Program PINTAR adalah salah satu inisiatif yang terhasil daripada Program Transformasi GLC (GLCT). Ia memperkemaskan program-program sekolah angkat selaras dengan seruan Kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (9MP) dan Bajet 2006 berkenaan kerjasama awam-swasta untuk pembangunan yang berkekalan. Jawatankuasa Putrajaya berkenaan Prestasi Cemerlang GLC, iaitu satu jawatankuasa yang memantau Program GLCT, berharap agar PINTAR akan menjadi contoh ikutan syarikat-syarikat lain dalam menyokong seruan Kerajaan ke arah Pembangunan Modal Insan.
Program ini bertujuan mewujudkan kesedaran terhadap kepentingan pencapaian akademik yang baik di kalangan pelajar daripada golongan berpendapatan rendah kerana pencapaian akademik yang baik menjanjikan masa depan yang lebih baik justeru memberi mereka peluang memperbaiki taraf hidup. PINTAR adalah satu program menyeluruh yang menggalakkan penglibatan ibu bapa dan masyarakat untuk menghadiri kursus-kursus IT dan motivasi serta Seminar Keibubapaan bagi mempersiapkan mereka untuk mendidik anak-anak masing-masing.
Di bawah program selama tiga tahun itu, TM telah mengambil dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Indera Muda dan Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebagai sekolah angkat.
TM telah memperuntukkan RM400,000 untuk tempoh 3 tahun sehingga 2009 bagi kedua-dua sekolah tersebut mengadakan pelbagai aktiviti termasuklah latihan dan bengkel peperiksaan UPSR, bengkel Bahasa Inggeris, bengkel pengurusan dan penyelenggaraan komputer, kursus-kursus motivasi dan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur. Untuk PINTAR, TM telah melengkapkan sekolah-sekolah tersebut dengan komputer – komputer yang dilengkapi dengan sambungan jalur lebar untuk akses Internet yang lebih baik. Kelas-kelas Aplikasi Internet dan Penyelenggaraan Komputer serta kursus motivasi turut disediakan untuk manfaat para pelajarnya.
Program-program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TM yang berlandaskan pendekatan dalam tiga aspek iaitu pendidikan, pembinaan negara/masyarakat dan alam sekitar. Dalam bidang pendidikan, antara inisiatif TM adalah penubuhan Universiti Multimedia (MMU) yang merupakan universiti swasta pertama di Malaysia. Selain itu, Yayasan TM, unit sosial TM, telah memberikan biasiswa berjumlah RM30 juta pada tahun ini kepada 823 pelajar yang layak bagi mereka melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah kerajaan dan universiti-universiti di Malaysia dan luar negara. Sejak penubuhannya pada tahun 1994, lebih daripada 11,000 orang pelajar telah mendapat manfaat daripada program biasiswa ini yang berjumlah lebih daripada RM390 juta.
Mengenai TMTelekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.
Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembinaan masyarakat/negara dan alam sekitar. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility untuk kategori Tempat Kerja bagi tahun 2008.
Click here for English version