Sejajar dengan objektifnya untuk menggalakkan dan mengekalkan ketelusan dalam operasi perniagaannya, Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini menjalankan aktiviti pengesahan penyenaraian direktori untuk para pelanggan TM Homeline. Dengan inisiatif perkhidmatan pelanggan baru ini, para pengguna kini mempunyai pilihan samada untuk menyenaraikan butiran mereka, termasuk nama, alamat dan nombor talian tetap atau mengeluarkannya daripada disenaraikan di dalam perkhidmatan Direktori TM.
TM baru-baru ini telah mengeluarkan satu surat kepada para pelanggannya untuk mendapatkan pengesahan dan kebenaran mereka untuk membolehkan TM menyenaraikan butiran mereka seperti nama, nombor telefon dan alamat di dalam perkhidmatan Directori TM, seperti Direktori ‘White Pages’ dan bantuan perkhidmatan direktori 103.
Untuk para pelanggan TM Homeline sedia ada yang ingin mengeluarkan nama dan butiran mereka daripada perkhidmatan Direktori TM, mereka hanya perlu mengisi borang yang telah dihantar oleh TM atau memuat turun borang tersebut dari laman web TM di www.tm.com.my (lihat Apendiks). Sebagai alternatif, para pelanggan juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan TMpoint terdekat untuk mendapatkan borang tersebut. Semua pelanggan sedia ada perkhidmatan TM X-Direktori juga perlu mengisi borang sekiranya mereka ingin membatalkan penyenaraian dari direktori tersebut. Walau bagaimanapun, para pelanggan yang ingin disenaraikan di dalam Direktori TM tidak perlu membalas.
Pilihan untuk mengeluarkan butiran dari direktori TM ini ditawarkan kepada para pelanggan TM Homeline sedia ada, manakala para pelanggan baru yang mendaftar selepas 1 Julai 2009 akan diberi pilihan samada ingin butiran mereka disenarai atau dikeluarkan dari direktori tersebut.
Para pelanggan boleh mengembalikan borang tersebut kepada TM menerusi cawangan TMpoint terdekat atau menerusi pos yang dialamatkan kepada Telekom Malaysia Berhad, Tingkat 16, TM Annexe 2, Jalan Pantai Baharu, 50672 Kuala Lumpur atau menerusi emel kepada tmxd@tm.com.my sebelum 31 Julai 2009.
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai perkhidmatan X-Direktori TM, sila hubungi 03-2246 5526. Untuk maklumat lanjut mengenai TM dan juga produk dan perkhidmatannya, sila hubungi Pusat Panggilan TM di 100 atau layari www.tm.com.my
Mengenai TMTelekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.
Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembinaan masyarakat/negara dan alam sekitar. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility untuk kategori Tempat Kerja bagi tahun 2008.
Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my
Click here for English version