Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini menandatangani perjanjian usaha sama perniagaan dengan CPCNet Hong Kong Limited (CPCNet), anak syarikat milik penuh CITIC 1616 Holding Limited bagi menyediakan perkhidmatan ICT terurus kepada CPCNet termasuklah Multi Protocol Label Switching Virtual Private Network (MPLS VPN), Metro-E dan Managed Customer Premise Equipment (CPE).
Menurut perjanjian usaha sama tersebut, CPCNet akan mewujudkan satu Pusat Rangkaian atau Point of Presence (POP) di Malaysia, bertempat di Carrier Neutral Data Centre di Kuala Lumpur. POP yang baru ini akan membolehkan CPCNet memenuhi permintaan pelanggan korporatnya yang kian meningkat dengan memanfaatkan akses dan kapasiti domestik TM yang meluas. POP yang baru ini dijangka akan mula beroperasi pada bulan September 2009.
Usaha sama ini akan memperluaskan lagi capaian rangkaian kedua-dua syarikat menerusi gabungan rangkaian dan keupayaan perkhidmatan TM yang kukuh di Malaysia serta 27 POP CPCNet di China. Ini akan mempertingkatkan sambungan antarabangsa antara China dan Malaysia, justeru memberikan akses yang lebih baik kepada para pelanggan kedua-dua syarikat.
Usaha sama ini juga akan membolehkan TM, sebagai pembekal komunikasi generasi baru terkemuka di Malaysia dan CPCNet, sebagai rakan kongsi penyelesaian komunikasi dan keselamatan yang terkenal di rantau ini, meningkatkan nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan masing-masing di Malaysia dan China menerusi penawaran yang lebih ekonomi dan berdaya saing dalam memenuhi keperluan perniagaan mereka yang berbeza-beza.
Kerjasama kedua-dua syarikat telah terjalin dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang telah diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur. Dato’ Adnan Rofiee, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, TM dan Rozaimy Abdul Rahman, Naib Presiden Eksekutif, Global, TM telah mewakili TM pada majlis tersebut manakala CPCNet telah diwakili oleh Stephen Ho, Ketua Pegawai Eksekutif CPCNet dan Joel Ma, Naib Presiden Eksekutif, Perniagaan Antarabangsa, CPCNet.
Bercakap pada majlis menandatangani perjanjian berkenaan, Rozaimy berkata, “Kami amat gembira kerana melalui usaha sama ini, TM dan CPCNet akan bersama-sama berganding bahu untuk memberikan penyelesaian dan perkhidmatan telekomunikasi yang menyeluruh bagi memenuhi permintaan daripada segmen korporat dan enterpris yang kian meningkat. Usaha sama ini juga bakal memacu segmen korporat dan enterpris, khususnya dalam memenuhi permintaan pelanggan yang memerlukan penyelesaian rangkaian global yang fleksibel, mudah diselaraskan dan terkini.”
“Kami percaya usaha sama strategik ini akan mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua syarikat sebagai pembekal perkhidmatan rangkaian dan komunikasi pilihan di rantau ini. TM akan meneruskan usaha kami untuk sentiasa berada di hadapan dengan memberikan sambungan dan perkhidmatan antarabangsa yang terbaik menerusi kerjasama strategik dengan rakan-rakan kongsi kami. Dalam usaha kami untuk mencapai pertumbuhan masa depan yang berkekalan, kami akan terus menjalinkan hubungan perniagaan strategik dengan rakan-rakan kongsi kami bagi meluaskan lagi penawaran kami dan membina kedudukan dalam pasaran sebagai satu jenama global,” jelas Rozaimy lagi.
“Kami berasa gembira dapat bekerjasama dengan TM untuk projek ini dan mewujudkan POP pertama kami di Malaysia. Sebagai pembekal komunikasi terkemuka di Malaysia, TM memiliki pengalaman yang luas dalam bekerjasama dengan enterpris-enterpris utama dan syarikat-syarikat komunikasi termasuklah CPCNet. Usaha sama ini merupakan satu langkah strategik kami dalam memenuhi permintaan pelanggan kami yang semakin meningkat dan untuk mengukuhkan lagi kedudukan kami di Asia,” kata Joel Ma.
Mengenai TMTelekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.
Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembinaan masyarakat/negara dan alam sekitar. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility untuk kategori Tempat Kerja bagi tahun 2008.
Click here for English version