Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan sukacitanya ingin memaklumkan kepada para pelanggannya di Sabah bahawa kerja-kerja pemulihan berikutan kejadian kebakaran yang berlaku di Ibu Sawat TM di Sandakan, Sabah baru-baru ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang esok, 4 Ogos 2009. Buat masa ini, TM telah membaik pulih lebih daripada 95% kapasiti untuk semua perkhidmatan suara, Internet dan datanya.
Semua perkhidmatan komunikasi TM di Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Semporna dan kawasan persekitaran Sabah timur telah dipulihkan secara berperingkat sejak insiden Rabu lalu.
Lebih dari 95% pelanggan yang terlibat kini sudah boleh menggunakan kesemua perkhidmatan TM, termasuk Telefoni, Litar Suwa, Data IPVPN, Metro-E, TM Direct and perkhidmatan Streamyx / DSL.
Kebanyakan pelanggan kini boleh membuat dan menerima panggilan tempatan, nasional (STD) dan antarabangsa (IDD), melayari Internet, memuat turun kandungan Internet atau bermain permainan ‘online’; menggunakan aplikasi Internet untuk membuat transaksi secara ‘online’ untuk perbankan, e-dagang dan mengakses portal kerajaan; dan juga membuat transaksi data seperti transaksi mesin ATM.
TM ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan-pelanggan kami atas kefahaman dan kesabaran mereka sepanjang tempoh tersebut.
Pelanggan bolehlah menghubungi TM di talian 100 atau menghantar e-mel ke help@tm.com.my untuk melaporkan sebarang masalah berkaitan perkhidmatan telefoni atau Internet.
Mengenai TM
Telekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.
Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembangunan sukan dan pembinaan masyarakat/negara. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Dari aspek sukan, TM menyumbang secara aktif ke arah meningkatkan taraf bola sepak tempatan di seluruh peringkat manakala di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility untuk kategori Tempat Kerja bagi tahun 2008.
Click here for English version