Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini meneruskan siri jelajah “Karnival ICT Sekolah” dengan hentian yang keenamnya di Sekolah Menengah Teknik Ipoh, Persiaran Brash di Ipoh, Perak selepas hentian kelimanya di Kuala Lumpur baru-baru ini. Siri jelajah ini juga akan turut diadakan di sekolah-sekolah menengah yang lain di seluruh negara sehingga hujung tahun ini.
Dianjurkan dengan kerjasama di antara TM dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di setiap negeri, karnival ini bertujuan untuk mendedahkan warga sekolah kepada faedah dan kelebihan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kehidupan seharian mereka.
TM mempamerkan produk dan perkhidmatannya kepada warga sekolah Sekolah Menengah Teknik Ipoh, serta kawasan - kawasan sekitarnya. Antara produk dan perkhidmatan TM yang dipamerkan termasuk Hypp.TV, kandungan e-pembelajaran BlueHyppo B-Smart, e-browse, kad panggilan pra-bayar iTalk, iTalk Buddy, pakej Streamyx Combo dan juga pakej talian tetap Let’s Talk.
Sempena dengan karnival itu, TM menawarkan promosi istimewa eksklusif kepada pengunjung yang mendaftar untuk akaun Streamyx di acara berkenaan. Pelanggan diberi pilihan memilih di antara modem tanpa wayar PERCUMA bernilai RM180.00 atau PENGECUALIAN yuran pemasangan RM75.00 dengan mana-mana langganan pakej Streamyx Combo.
Hadir melancarkan karnival ini adalah Hj Mohd Radzi bin Abd Jabar, Pengarah Jabatan Pelajaran Perak bersama-sama dengan Hj Mohd Ali Nordin, Pengurus Besar TM Perak.
Bercakap di majlis pelancaran carnival tersebut, Mohd Ali berkata, “Kami berharap karnival ini dapat melahirkan kesedaran dan membantu guru, ibu bapa dan pelajar dalam aktiviti pengajaran, pembelajaran dan pekerjaan seharian menggunakan kemudahan dan perkhidmatan ICT terkini yang disediakan oleh TM. Ini selaras dengan misi Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) di bawah naungan Kementerian Pelajaran untuk membina dan menggalakkan budaya penggunaan teknologi pendidikan di kalangan guru-guru dan para pelajar bagi mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan itu, karnival ini membuka peluang bukan sahaja kepada TM untuk mempersembahkan produk dan perkhidmatan kami yang baru, malah sebagai tapak untuk berinteraksi dengan para pelanggan kami serta memahami keperluan mereka di dalam memenuhi gaya hidup dan bajet yang berbeza.”
Pelbagai acara menarik telah dianjurkan untuk pengunjung karnival tersebut. Aktiviti-aktiviti sukan seperti pertandingan, “3 on 3 street soccer challenge”, pertandingan memasang PC, dan permainan sukaneka hanyalah sebahagian daripada aktiviti yang dianjurkan. Kuiz ICT antara sekolah peringkat negeri turut diadakan.
Antara promosi istimewa yang hanya ditawarkan kepada pengunjung ke karnival ini adalah Pakej Istimewa Pelajar yang menawarkan perkhidmatan Streamyx dan iTalk di dalam pakej bonus. Pakej ini layak dilanggani oleh sesiapa yang berumur melebihi 18 tahun dengan hanya memaparkan bukti dokumen yang mengesahkan mereka adalah penuntut mana-mana universiti, institusi pengajian atau kolej tempatan. Pelanggan diberi 3 pilihan pakej langganan kelajuan: 384kbps pada kadar RM60 sebulan, 512kbps pada kadar RM90 sebulan dan 1Mbps pada kadar RM110 sebulan.
Pakej tersebut merangkumi perkhidmatan talian tetap TM Homeline termasuk iTalk Hotline – 1 800 87 3535 serta Streamyx. Dengan pakej istimewa ini, para pelajar dapat menikmati kadar panggilan rendah iTalk pada kadar hanya 15 sen seminit untuk panggilan ke talian tetap dan 17 sen sesaat bagi panggilan ke talian mudah alih dan 10 sen seminit untuk panggilan ke Singapura. Pelanggan juga akan menikmati kadar rendah panggilan PC ke telefon iTalk Buddy serendah 5 sen seminit. Para pelanggan akan turut diberikan set telephone iTalk yang disambungkan terus ke talian Hotline iTalk tanpa perlu mendial ke talian tersebut. Untuk maklumat lanjut mengenai pakej ini, sila layari www.tm.com.my.
Dari negeri Perak, siri jelajah Karnival ICT Sekolah akan bergerak ke lokasi lain di Malaysia sehingga hujung tahun ini.
Karnival ICT Sekolah akan datang ke lokasi berhampiran anda, jadi jangan ketinggalan untuk turut serta!
Mengenai TM
Telekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.
Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembangunan sukan dan pembinaan masyarakat/negara. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Dari aspek sukan, TM menyumbang secara aktif ke arah meningkatkan taraf bola sepak tempatan di seluruh peringkat manakala di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility untuk kategori Tempat Kerja bagi tahun 2008.
Click here for English version