TM Info-Media Sdn. Bhd. (TMIM), anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini menandatangani tiga Perjanjian Kerjasama dengan rakan usahasamanya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), FlyFirefly Sdn. Bhd. (FlyFirefly) dan FriedChillies Media Sdn. Bhd. (FriedChillies) untuk menerbitkan Halal Pages (e-Halal), Malaysia Tourist Pages (e-Holiday) dan direktori tempat makanan dan minuman (e-Dining) versi online dalam direktori online Yellow Pages.
TMIM bekerjasama dengan UIAM untuk e-Halal; Firefly Sdn. Bhd. untuk e-Holiday dan Fried Chillies Media Sdn. Bhd. untuk e-Dining
Nasaruddin Mohd. Zaini, Ketua Pegawai Eksekutif TMIM mewakili TMIM di majlis menandatangani perjanjian tersebut, manakala Profesor Dato’ Sri Dr. Syed Arabi Idid, Rektor UIAM; Angelina Corrina Fernandez, Ketua Komunikasi Korporat, FlyFirefly dan Mohd Adly Rizal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas FriedChillies mewakili syarikat masing-masing untuk menandatangani Perjanjian-perjanjian Kerjasama tersebut.
Di majlis yang sama, Y.B. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah turut melancarkan ketiga-tiga direktori online tersebut.
Bercakap di majlis menandatangani itu, Dato’ Zamzamzairani Mohd. Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM berkata, ”Majlis hari ini menandakan satu lagi pencapaian oleh TMIM di bawah jenama Yellow Pages dengan pelancaran 3 produk baru hasil kerjasama perniagaan dengan rakan-rakan usahasamanya. Selari dengan gaya hidup digital masa kini, keperluan terhadap direktori Yellow Pages versi digital adalah sangat relevan kerana para pelanggan mungkin perlu mendapatkan nombor syarikat perniagaan yang ingin dihubungi pada bila-bila masa di mana sahaja, hanya dengan melihatnya secara online atau dimuat turun ke komputer.”
Mengulas tentang kerjasama ini, Y.B. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, “Teknologi telah membolehkan penyebaran maklumat dalam cara yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini. Dengan menggunakan penyelesaian inovatif dalam cara positif, kami boleh memberikan kuasa kepada pengguna untuk membuat keputusan yang lebih baik apabila mereka memilih produk atau perkhidmatan yang sesuai. Maklumat boleh didapati dari rumah, pejabat atau di dalam kereta menerusi komputer riba, telefon bimbit atau alatan lain. Usaha TMIM menerbitkan direktori bercetak telah dipertingkatkan dengan terbitnya direktori digital. Justeru, menyuaipadankan penerbitan sebenar dengan penerbitan digital adalah inisiatif yang tidak dilakukan oleh penerbit lain. Pembekal kandungan dan rakan usahasama strategik TMIM boleh mengambil kesempatan ini untuk memanfaatkan penerbitan ini dan menyebarkan mesej mereka ke lebih ramai orang.”
Tiga produk baru tersebut digambarkan seperti di bawah:
a) e-Halal
e-Halal adalah versi maya Halal Pages yang dicetak. Dalam menyokong aspirasi Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal, dengan mempunyai portal berpusat akan memastikan pengilang dan pembekal produk-produk yang disahkan halal boleh menggunakan kelebihan pemasaran elektronik untuk mempromosikan produk-produk mereka di dalam dan luar negara.
e-Halal hanya akan membenarkan syarikat yang disahkan halal untuk mempamerkan iklan produk halal mereka. Produk halal yang boleh dimakan seperti makanan dan minuman, produk yang diproses dan sedia dimakan serta produk bukan makanan seperti barangan kulit, penjagaan kesihatan, barangan farmasi, barangan penjagaan diri, alat solek dan pembekal perkhidmatan seperti institusi kewangan yang menawarkan perkhidmatan kewangan yang disahkan halal, contohnya perbankan Islam, unit amanah Islam, Pasaran Modal Islam dan insurans Takaful, syarikat bioteknologi dan premis-premis halal digalakkan menggunakan e-Halal sebagai platform untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka. Ini adalah trend global kerana produk halal disifatkan sebagai bersih, selamat, berfaedah dan baik.
Di bawah Kerjasama Perjanjian selama 5 tahun ini, TMIM akan mereka, mencetak, mengedar, mempromosi dan memasarkan semua ruang iklan di e-Halal dan Halal Pages, manakala UIAM akan membekalkan artikel untuk e-Halal.
b) e-Holiday
e-Holiday adalah versi maya cetakan Malaysia Tourist Pages (MTP). MTP telah mempromosikan produk pelancongan tempatan, terutamanya kepada pelancong asing sejak 16 tahun yang lalu. Secara asasnya, penerbitan ini menyokong agenda pelancongan nasional. Oleh itu, pendigitalan MTP kepada e-Holiday akan membolehkan maklumat mengenai destinasi percutian dan pelbagai tempat dan perayaan di Malaysia disebarkan dengan lebih meluas.
Hotel, Pusat Peranginan, Agensi Pelancongan, Syarikat Penerbangan, Pengedar Peralatan Menyelam, Restoran, Syarikat Sewaan Kereta, Kedai Cenderahati, Padang Golf, Hospital (pelancongan kesihatan), universiti dan kolej (pelancongan pendidikan) dan industri berkaitan pelancongan yang lain digalakkan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka menerusi e-Holiday.
Direktori e-Holiday akan dimuat naik ke laman web FlyFirefly kerana FlyFirefly sedang mempromosikan industri pelancongan. TMIM akan menganjurkan peraduan bulanan menerusi laman web Yellow Pages untuk mempromosikan pakej percutian yang mengandungi tiket dan tempat tinggal percuma ke destinasi terpilih.
Di bawah kerjasama untuk e-Holiday selama setahun ini, TMIM akan mempromosikan dan mengedarkan direktori ini menerusi Yellow Pages manakala FlyFirefly akan mempromosikan muat turun direktori digital tersebut di laman web syarikat tersebut.
c) e-Dining
e-Dining adalah direktori digital yang menyenaraikan tempat makanan dan minuman seperti restoran, francais makanan, kafe dan juga hotel di Malaysia. e-Dining disasarkan kepada semua pemilik restoran, francais makanan, pengilang makanan dan hotel untuk mengiklankan hidangan mereka.
Malaysia adalah pusat pelbagai jenis makanan yang terdiri daripada hidangan Melayu, Cina, India dan Eropah. Dengan pelbagai pilihan makanan, e-Dining adalah saluran yang tepat untuk mendapatkan maklumat mengenai pelbagai jenis masakan di Malaysia.
Di bawah kerjasama 2 tahun ini, FriedChillies akan membekalkan kandungan manakala TMIM akan mereka, mengedar, mempromosi dan memasarkan semua ruang iklan untuk e-Dining. Selain daripada pembekal kandungan, FriedChillies juga telah dilantik sebagai penjual untuk menjual ruang iklan untuk e-Dining.
Berbanding direktori yang dicetak yang hanya diterbitkan sekali setahun, e-Halal, e-Holiday dan e-Dining dikemaskinikan setiap bulan. Ini akan memberi faedah kepada pengiklan kerana mereka boleh menyebarkan iklan mereka kepada orang ramai dengan lebih pantas dan mendapat faedah jualan dengan lebih cepat.
Ketiga-tiga direktori boleh dimuat turun di www.yellowpages.com.my secara percuma dan apabila telah disimpan dalam komputer atau komputer riba pelanggan, mereka boleh merujuknya pada bila-bila masa.
Mengenai TM
Telekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.
Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembangunan sukan dan pembinaan masyarakat/negara. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Dari aspek sukan, TM menyumbang secara aktif ke arah meningkatkan taraf bola sepak tempatan di seluruh peringkat manakala di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility untuk kategori Tempat Kerja bagi tahun 2008.
Click here for English version