Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) naik 25.1% kepada RM367.3 juta untuk 1HFY10Pelanggan jalur lebar bertambah 12.5% kepada 1.541 juta berbanding 1.370 juta tahun laluDividen interim kasar 13 sen sesaham ditolak cukai 25%
Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini melaporkan keputusan kewangan separuh tahunnya dengan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) naik 25.1% kepada RM367.3 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2010, berbanding RM293.7 juta pada 1H 2009. Ini dicatatkan berikutan peningkatan hasil data dan Internet, penurunan yang lebih perlahan dalam penggunaan suara, susut nilai yang lebih rendah dan kesan pelaksanaan langkah-langkah perbelanjaan berhemah secara berterusan. Pengukuhan mata wang Ringgit membolehkan keuntungan tukaran wang asing daripada pinjaman mata wang asing yang lebih baik turut menyumbang kepada PATAMI yang lebih baik.
TM mencatatkan hasil sebanyak RM4,275.8 juta bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2010, naik 1.0% berbanding RM4,234.4 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu. Pertumbuhan ini adalah berikutan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan Internet dan data.
Biarpun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar dan persaingan yang hebat, TM mengekalkan kedudukannya yang kukuh dalam pasaran. Prestasi separuh tahun adalah dipacu oleh pertumbuhan hasil data iaitu sebanyak 11.5% kepada RM822.6 juta berbanding RM738.0 juta tahun lalu disebabkan oleh permintaan terhadap perkhidmatan lebar jalur yang lebih tinggi. Memanfaatkan kewujudan jenama yang kukuh dan rangkaian yang meluas di seluruh negara, hasil Internet bagi separuh tahun naik 8.6% daripada RM786.7 juta pada 1H 2009 kepada RM854.2 juta. Ini adalah hasil daripada pertumbuhan jumlah pelanggan jalur lebar tahun-ke-tahun sebanyak 12.5% kepada 1.541 juta pada separuh tahun ini berbanding 1.370 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu. Jumlah penambahan bersih bagi 1H10 adalah 110,000 berbanding 90,000 pada 1H09.
Selari dengan fokus berterusan terhadap pulangan pemegang saham dan pengurusan modal, TM turut mengumumkan bahawa Lembaga Pengarahnya telah meluluskan pembayaran dividen kasar interim sebanyak 13 sen sesaham ditolak cukai 25% atau kira-kira RM348.8 juta akan dibayar kepada para pemegang sahamnya menjelang akhir bulan September 2010. Dengan dividen interim ini, TM berada di landasan yang betul untuk memenuhi komitmen dividen tahunannya.
Bercakap di sidang akhbar selepas mengumumkan keputusan kewangan separuh tahun pertama 2010 Syarikat, Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM berkata, “Keputusan separuh tahun yang baik ini menggambarkan kemampuan TM memanfaatkan keupayaan yang dimiliki dan merebut peluang-peluang yang ada dalam persekitaran yang kompetitif ini. Perkhidmatan bukan suara terus menjadi pemacu hasil buat TM. Biarpun kita menghadapi persaingan sengit daripada pengendali mudah alih dan WiMAX dalam pasaran, TM terus mencatat pertumbuhan positif dalam jumlah pelanggan jalur lebarnya. Jumlah pelanggan jalur lebar mencatatkan pertambahan 12.5% disebabkan terutamanya oleh portfolio produk yang teroptimum dan strategi ke pasaran yang dipertingkatkan. Setakat akhir Jun 2010, jumlah pelanggan kami adalah 1.541 juta. Setakat ini, kadar penerimaan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) kami, UniFi adalah amat menggalakkan dengan lebih daripada 4,800 pelanggan setakat 30 Jun 2010 dan jumlah pesanan telah melebihi 12,000 setakat minggu lepas. Kami juga telah menggandakan jumlah lokasi Streamyx Zone kami daripada 1,303 pada 1H 2009 kepada 2,533 pada akhir Jun 2010. Saya juga amat gembira untuk menyatakan bahawa kami terus dapat melihat peningkatan dalam jumlah pelanggan talian tetap kami kepada 4.33 juta berbanding 4.32 juta setahun lalu.”
“Memastikan pelanggan menerima kualiti perkhidmatan yang baik adalah amat penting buat kami agar mereka terus kekal bersama kami. Oleh itu, TM komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya 5.0% daripada hasil tahun ini bagi inisiatif-inisiatif peningkatan kualiti pelanggan. Indeks kepuasan pelanggan kami mencatatkan peningkatan 6.0% untuk keseluruhan jenama TM berbanding 2H 2009.”
“Ketika kami bersaing untuk menawarkan nilai terbaik buat pelanggan kami, kami terus mengamalkan cara berhemah dalam perbelanjaan dengan mengekalkan fokus terhadap pengurusan kos dan disiplin modal. Selaras dengan Program Peningkatan Prestasi (PIP) 2.0 kami, usaha-usaha pengurusan kos bertumpu kepada penambahbaikan proses dan mengoptimumkan kos sementara usaha-usaha peningkatan kecekapan modal terarah kepada mengurangkan jumlah hari akaun penerimaan (account receivables) dan mengoptimumkan perbelanjaan modal (capex). Tumpuan khusus kepada mengoptimumkan kos dan kecekapan modal ini dapat dilihat menerusi perbelanjaan modal Business As Usual (BAU) yang lebih rendah pada 1H 2010. TM membelanjakan RM336 juta sepanjang tempoh ini, 35.4% lebih rendah berbanding RM520 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. Ini adalah hasil pendekatan perolehan yang lebih ketat dan keperluan yang teliti. Perbelanjaan modal HSBB telah meningkat kepada RM437 juta daripada RM428 juta tahun lalu disebabkan oleh perluasan kawasan liputan HSBB secara giat. Syarikat dijangka membelanjakan kira-kira RM2 bilion untuk perbelanjaan modal bagi keseluruhan tahun 2010.”
TM merekodkan Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (EBITDA) yang rendah sedikit bagi 1H 2010 berbanding tahun lalu. Penurunan ini disebabkan oleh keuntungan sekali (one-off) atas pelupusan kepentingan Axiata yang dilaporkan pada 1H 2009. Penyelenggaraan rangkaian yang lebih tinggi dan perbelanjaan terancang untuk Pengiklanan & Promosi (A&P) serta kos-kos berkaitan UniFi yang lain pada 1H 2010 turut menyumbang kepada EBITDA yang lebih rendah. Margin EBITDA dinormalisasi, tidak termasuk perkara-perkara tidak berulang, adalah 32.7%, selaras dengan sasaran TM pada 2010 iaitu 33.0%
Produk
1H 2010(RM juta)
% Sumbangan
1H 2009(RM juta)
Suara
1,901.0
44.5%
2,035.3
48.1%
Internet
854.2
20.0%
786.7
18.6%
Data & Suwa
822.6
19.2%
738.0
17.4%
Lain-lain*
698.0
16.3%
674.4
15.9%
JUMLAH
4,275.8
100.0
4,234.4
*Lain-lain termasuk perkhidmatan berkaitan telekomunikasi lain dan perkhidmatan bukan berkaitan telekomunikasi
Perbandingan : Suku-ke-suku (Keputusan Q2 2010 vs Q2 2009)
Bagi suku tahun dalam kajian, TM mencatatkan pertumbuhan hasil yang positif sebanyak 1.0% tahun-ke-tahun kepada RM2,150.9 juta daripada RM2,129.0 juta, disumbangkan terutamanya oleh hasil perkhidmatan data dan Internet yang lebih tinggi, yang menangani kesan hasil suara yang rendah berikutan penurunan kadar penggunaan.
Peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan lebar jalur yang lebih tinggi telah menyumbang kepada hasil data yang lebih kukuh sebanyak 14.5% pada 2Q 2010 kepada RM424.9 juta berbanding RM371.0 juta pada suku yang sama tahun 2009. Sementara itu, hasil Internet mencatatkan pertumbuhan 7.5% daripada RM401.6 juta yang direkodkan pada 2Q 2009 kepada RM431.6 juta pada suku tahun dalam kajian berikutan pertumbuhan jumlah pelanggan jalur lebar yang memberangsangkan.
EBITDA bagi 2Q 2010 adalah lebih rendah iaitu pada RM689.9 juta, turun 16.3% daripada RM824.1 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu disebabkan oleh ketiadaan keuntungan sekali dan kos operasi yang lebih tinggi, seperti yang dinyatakan di atas.
PATAMI bagi 2Q 2010 susut 53.2% kepada RM124.4 juta berbanding RM266.0 juta bagi suku yang sama tahun 2009. Ini disebabkan terutamanya oleh keuntungan sekali seperti yang dinyatakan di atas dan keuntungan belum nyata daripada tukaran pinjaman mata wang asing yang lebih rendah sebanyak RM18.1 juta berbanding RM123.2 juta pada suku yang sama tahun 2009.
Prospek bagi Tahun Kewangan Ini
TM akan terus berhadapan dengan persaingan hebat di tengah liberalisasi industri, perubahan kawal selia dan persaingan yang kian sengit. TM akan berusaha meluaskan milikan pasaran dalam segmen perniagaan terpilih bagi meningkatkan hasil sambil mengekalkan margin. Selain itu, pengurusan kos berhemah dan disiplin modal Kumpulan akan terus memfokus kepada penambahbaikan proses, mengoptimumkan kos dan kecekapan kos selari dengan inisiatif-inisiatif PIP 2.0 yang telah digariskan.
Penembusan pasaran jalur lebar adalah pada kadar 38.4% (sumber: laporan SKMM – 21 Julai 2010) pada masa ini memberi TM peluang untuk terus mengukuhkan lagi kedudukan penerajunya dalam industri.
Mengenai pelaksanaan perkhidmatan UniFi, pada bulan Julai, TM telah meluaskan liputan ke 18 kawasan lagi termasuk 5 kawasan di luar Lembah Klang iaitu zon-zon perindustrian di Kedah, Pulau Pinang dan Johor, seperti perancangan. TM berada di landasan yang betul untuk meningkatkan liputan perkhidmatan UniFinya kepada 48 kawasan ibu sawat menjelang akhir tahun. Setakat minggu lepas, pelaksanaan perkhidmatan tersebut telah mencecah lebih 500,000 premis sedia dipasang di seluruh negara. Dalam Fasa 1 projek HSBB, UniFi dilaksanakan secara berperingkat bagi mencapai 750,000 premis sedia dipasang menjelang akhir tahun 2010 dan 1.3 juta premis sedia dipasang menjelang akhir tahun 2012.
Melihat kepada landskap telekomunikasi yang bersaing sengit serta tempoh yang diperlukan bagi membangunkan perniagaan berkaitan HSBB, Lembaga Pengarah menjangka persekitaran perniagaan TM bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010 akan kekal mencabar.
Click here for English version