Read about TM Group from media news releases and our e-Newsletter as well as view pictures of our events from our Event Gallery.
Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Halim bin Shafie sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah TM yang baru, menggantikan Tan Sri Dato’ Ir. Muhammad Radzi Haji Mansor berkuatkuasa dari 31 Julai 2009. Tan Sri Dato’ Ir. Muhammad Radzi telah menyempurnakan penggal kelima beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah TM setelah berkhidmat selama 10 tahun sejak pelantikannya pada tahun 1999.
Pengerusi baru TM, Datuk Dr. Halim bukanlah orang asing kepada TM mahu pun industri telekomunikasi memandangkan beliau merupakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari tahun 2006 hingga 2009. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah gantian TM dari tahun 1999 hingga 2000, dan kemudiannya sebagai pengarah penuh sehingga 2004.
Mengulas pelantikan ini, Dato’ Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM berkata, “Kami gembira dengan kehadiran Datuk Dr. Halim dalam Lembaga Pengarah sebagai Pengerusi. Dengan pengalaman luas dan penglibatan beliau dalam perkembangan industri, tentunya memberikan kekuatan baru kepada Lembaga Pengarah, dan memberikan kami kesinambungan dan bimbingan untuk melaksanakan strategi perniagaan dan terus maju.”
Sebelum pelantikannya sebagai Pengerusi SKMM, Datuk Dr. Halim telah berkhidmat dengan Kerajaan dalam pelbagai jawatan di beberapa bahagian perkhidmatan awam negara. Datuk Dr. Halim telah memulakan karier beliau di Kementerian Pelajaran pada tahun 1972 dan diikuti dengan pelantikan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada tahun 1976, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1987 dan kembali berkhidmat sebagai Pengarah INTAN pada tahun 1994.
Datuk Dr Halim kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha I, Sektor Komunikasi dan Multimedia pada tahun 1999 sebelum menyandang jawatan Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi pada tahun 2000. Mengiktiraf sumbangan beliau terhadap pertumbuhan sektor Komunikasi dan Multimedia negara, Datuk Dr. Halim dilantik sebagai Pengerusi SKMM pada 3 April 2006, jawatan yang disandangnya sehingga Mei 2009.
Dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini, Datuk Dr Halim telah berkhidmat dalam pelbagai lembaga pengarah, termasuk di Tenaga Nasional Berhad, Pos Malaysia Berhad dan Multimedia Development Corporation Sdn. Bhd. Buat masa ini, Datuk Dr Halim juga adalah Pengerusi Universiti Telekom Sdn Bhd. Beliau juga merupakan ahli majlis Malaysian National Computer Confederation (MNCC), Profesor Adjunct di Universiti Utara Malaysia, Pengerusi Lembaga Pengarah Perpustakaan Negara, Malaysia dan pengarah Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn. Bhd. (anak syarikat Bank Negara).
Datuk Dr Halim adalah graduan lulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1972. Pada tahun 1980, beliau menerima anugerah University Scholar Award dari University of Pittsburgh di mana beliau memperolehi Ijazah Sarjana dalam Pembangunan Ekonomi (Masters Degree in Economic Development). Datuk Dr Halim kemudiannya menerima anugerah Gaylord Brothers Scholarship Award dari University Syracuse dan memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang Information Transfer pada tahun 1988. Selain itu, beliau juga telah melengkapkan kursus-kursus profesional antaranya dalam bidang Analisis dan Rekabentuk Sistem di INTAN pada tahun 1976, Management Education Program di Indian Institute of Management, Ahmedabad India pada tahun 1977 dan Advanced Management di Harvard Business School pada tahun 2000. Beliau juga telah menyampaikan pelbagai ceramah dan pembentangan di forum-forum tempatan dan antarabangsa dalam bidang dasar ICT, dasar telekomunikasi, Pelan Jalur Lebar Kebangsaan, Pengurusan Pengetahuan, Tenaga Boleh Dibaharui dan Industri Perkhidmatan Air.
Bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan juga warga kerja TM, Dato’ Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, “Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Tan Sri Dato’ Ir Muhammad Radzi atas sumbangan besar beliau kepada TM. Tan Sri Radzi telah berkhidmat dengan Syarikat ini sejak era Jabatan Talikom Malaysia sehingga era penswastaan dan seterusnya penyenaraian TM di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad. Dalam tempoh Tan Sri Dato’ Ir. Muhammad Radzi berkhidmat sebagai Pengerusi, TM telah meluaskan operasinya di rantau ini dan beliau telah mewakili TM dalam lembaga pengarah di sebahagian syarikat-syarikat serantau ini serta membantu membina jenama Malaysia di peringkat antarabangsa. Beliau merupakan tunjang dalam banyak peristiwa penting TM termasuk perubahan teknologi, perluasan serantau, penerokaan peluang-peluang perniagaan baru, serta langkah pengasingan operasi domestik dan serantau TM pada tahun lalu. Di bawah bimbingan Tan Sri Radzi, hari ini, TM fokus dalam matlamat kita untuk muncul sebagai peneraju jalur lebar dan pembekal perkhidmatan komunikasi generasi baru yang ulung di negara ini.”
“Kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri Dato’ Ir Muhammad Radzi. Seiring dengan itu, kami juga mengalu-alukan Datuk Dr. Halim sebagai Pengerusi baru bagi Lembaga Pengarah TM,“ tambah Dato’ Zamzamzairani.
Mengenai TMTelekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.
Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembinaan masyarakat/negara dan alam sekitar. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility untuk kategori Tempat Kerja bagi tahun 2008
Click here for English version