Telekom Malaysia Berhad (TM), dengan usahasama dengan Kerajaan Negeri Sembilan, hari ini melancarkan projek 1NS*Net dan 1NS Wireless City di Seremban. Negeri Sembilan merupakan negeri yang pertama yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar wayarles secara komprehensif.
Pelancaran 1NS*Net dan 1NS Wireless City itu dirasmikan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan. Turut hadir di pelancaran tersebut adalah Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM.
1NS*Net menggunakan perkhidmatan IPVPN menerusi rangkaian Metro-Ethernet, membentuk sebuah infrastruktur rangkaian bersepadu yang membolehkan semua agensi Kerajaan Negeri mengakses sistem aplikasi Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Rangkaian 1NS*Net akan menghubungkan semua pejabat dan jabatan Kerajaan Negeri Sembilan dan di bawah projek ini, lebar jalur juga akan ditingkatkan untuk membolehkan penggunaan aplikasi yang lebih tinggi dan menyokong lebih ramai pengguna. Menerusi projek 1NS*Net, Kerajaan Negeri akan menikmati penyambungan yang dipertingkatkan, produktiviti yang lebih mantap, kelajuan dan kapasiti lebar jalur yang lebih pantas, terjamin selamat dan lebih telus. Ianya juga akan menjadi pencetus ke arah pembangunan negeri tersebut di masa hadapan.
Menurut Y.A.B. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, objektif utama projek 1NS*Net adalah untuk meningkatkan keberkesanan jabatan Kerajaan Negeri dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk negeri tersebut.
“Di bawah projek usahasama di antara Kerajaan Negeri Sembilan dan TM, pelbagai rangkaian yang berlainan yang sebelum ini dikenali sebagai NS*Net telah digabungkan untuk menjadi 1NS*Net. Rangkaian ini akan digunakan di 50 lokasi melibatkan Wisma Negeri, pejabat-pejabat tanah dan daerah, majlis-majlis daerah, pejabat-pejabat agama Islam, jabatan-jabatan kebajikan masyarakat serta jabatan dan agensi kerajaan di seluruh Negeri Sembilan.”
Menurut Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd. Isa, “Projek 1NS*Net menghubungkan 50 pejabat Kerajaan Negeri dan menggabungkan 3 sistem yang sebelum ini berasingan menerusi satu rangkaian telekomunikasi yang bersepadu, pantas dan selamat. Bagi melaksanakannya, TM menggunakan teknologi IPVPN menerusi Metro-E dan juga leased line serta dilengkapi pula dengan pelbagai penyelesaian seperti Bandwidth Management Tool (BMT), Network Security Management Appliance dan Network Management System (NMS) serta perisian anti-virus.”
“Rangkaian-rangkaian yang disepadukan oleh 1NS*Net ini adalah NS*Net, EG*Net dan NRE*Net. Dengan penyepaduan dan penyambungan ini, rangkaian infrastruktur ICT kerajaan negeri akan menjadi lebih cekap, berpusat dan terjamin selamat. Seterusnya, Kerajaan Negeri mampu untuk meningkatkan mutu penyampaiannya demi manfaat rakyat. Kami ingin mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri kerana Negeri Sembilan merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan projek-projek sebegini. Sesungguhnya TM amat berbangga kerana dapat membantu Kerajaan Negeri dalam melaksanakan projek yang amat penting ini,” jelas Dato’ Sri Zamzamzairani.
Selain daripada membekalkan infrastruktur untuk projek 1NS*Net, TM turut menawarkan perkhidmatan sokongan pelanggan menerusi talian 1060 dan 1-300-88-2888.
Majlis ini juga menyaksikan pelancaran projek 1NS Wireless City, sebuah inisiatif oleh Kerajaan Negeri untuk menawarkan akses Internet untuk orang ramai di seluruh Negeri Sembilan menerusi teknologi jalur lebar wayarles Streamyx. Bermula November ini, penduduk Negeri Sembilan boleh menikmati perkhidmatan ini pada bila-bila masa sahaja di mana jua, menerusi liputan WiFi di kawasan tertentu secara PERCUMA. TM akan menyediakan peralatan yang diperlukan untuk project ini di bawah kontrak selama 3 tahun. Untuk menikmati perkhidmatan ini, pengguna perlu mengakses WiFi di lokasi poin akses 1NS Wireless City dan mereka akan diberikan akses ke laman utama 1NS Wireless City. Pengguna perlu mendaftar untuk mendapatkan akaun PERCUMA. Setiap ahli akan diberikan nama pengguna dan kata laluan untuk mengakses perkhidmatan wayarles. Perkhidmatan ini akan ditawarkan di 7 daerah merangkumi 20 lokasi di Negeri Sembilan, iaitu Seremban, Seremban 2, Nilai, Senawang, Rantau, Port Dickson dan Tampin. Disamping itu, TM juga akan meluaskan kawasan liputan untuk merangkumi hampir ke seluruh negeri untuk memastikan penyambungan yang maksima.
Laman web 1NS Wireless City juga akan berfungsi sebagai portal komunikasi di antara Kerajaan Negeri dan komuniti jalur lebar di Negeri Sembilan. Menerusi portal ini, Kerajaan Negeri boleh berkongsi maklumat, promosi dan aktiviti yang berkaitan dengan negeri. Kerajaan Negeri juga boleh menggunakan perkhidmatan SMS umum TM, InfoBlast, untuk menghantar ucapan dan mesej SMS ke pengguna yang berdaftar.
Untuk maklumat lanjut mengenai 1NS*Net dan 1NS Wireless City, layari http://www.ns.gov.my atau hubungi 06 – 765 9777. Untuk maklumat lanjut mengenai TM dan perkhidmatan yang kami tawarkan untuk segmen pengguna, perniagaan dan agensi kerajaan, layari laman web kami di www.tm.com.my.
Click here for English version