Telekom Malaysia Berhad (“TM” atau “Syarikat”) hari ini mengumumkan cadangan menjadikan VADS Berhad (VADS) sebuah syarikat persendirian. Langkah ini adalah selari dengan strategi Syarikat untuk memacu pertumbuhan menerusi kecemerlangan komersil dengan mengoptimumkan portfolio produk dan perkhidmatannya serta saluran jualannya. Langkah menjadikan VADS sebagai syarikat persendirian akan memberi TM peluang menyelaras perniagaannya bagi memaksimumkan potensi sinergi dan faedah daripada penjimatan kos, justeru mengarah kepada pertumbuhan dan peningkatan perolehan.Manfaat strategik dari segi organisasi dan operasi dijangka dapat dilihat menerusi perkongsian amalan terbaik serta pengumpulan sumber dan kemahiran antara VADS dengan TM. Cadangan ini juga diharap dapat membolehkan Kumpulan TM memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan-pelanggannya, khususnya dalam segmen Enterpris. Langkah ini juga bakal menghapuskan sebarang potensi konflik kepentingan antara TM dengan VADS.Setelah menandatangani perjanjian untuk pelaksanaan jalur lebar berkelajuan tinggi (“HSBB”) di Malaysia dengan pihak Kerajaan Malaysia pada 16 September 2008 yang lalu, TM akan memainkan peranan penting dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (“ICT”) negara. Pelaksanaan HSBB dan peluang untuk mengoptimum serta menjana perniagaan VADS, menjanjikan sesuatu yang baik untuk aspirasi baru TM ke arah menjadi peneraju pembekal komunikasi generasi baru di Malaysia.Langkah menjadikan VADS sebuah syarikat persendirian akan ditetapkan pada harga RM7.60 bagi setiap saham VADS, iaitu premium kira-kira sebanyak 26% dan 18% untuk harga purata berwajaran berat bagi 3 bulan dan 5 hari, sehingga 19 September 2008, iaitu hari urusniaga terakhir sebelum pengumuman langkah tersebut. Harga tertinggi saham VADS diurusniagakan sejak ia disenaraikan pada tahun 2002 ialah RM6.90, selepas diselaraskan mengikut langkah pembahagian saham (share split exercise) VADS terdahulu. Harga RM7.60 sesaham ini merupakan premium sebanyak 10.1% daripada harga urusniaga tertinggi. Jumlah kos langkah ini kepada TM adalah kira-kira RM417 juta. Peralihan ini dijangka akan dilaksanakan melalui pengurangan modal secara terpilih dan pembayaran semula oleh VADS. Selepas langkah ini selesai, VADS akan menjadi sebuah anak syarikat milik penuh TM.Mengenai TMTelekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembangunan sukan dan pembinaan masyarakat/negara. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Dari aspek sukan, TM menyumbang secara aktif ke arah meningkatkan taraf bola sepak tempatan di seluruh peringkat manakala di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility untuk kategori Tempat Kerja bagi tahun 2008.Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.myMengenai VADSVADS merupakan salah sebuah pembekal Perkhidmatan ICT terurus yang terkemuka di Malaysia. Telah bertumbuh daripada asalnya satu usahasama antara IBM Global Network Services dengan TM pada tahun 1991, hari ini VADS merupakan sebuah syarikat senaraian awam yang memberi khidmat kepada lebih daripada 500 buah syarikat besar dan sederhana merentasi pelbagai industri.Untuk maklumat lanjut mengenai VADS, layari www.vads.com.my Click here for English version