Perlantikan Dato’ Azman Mokhtar sebagai Pengerusi TMI dan Dato’ Jamaludin Ibrahim sebagai Bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Dato’ Yusof Annuar Yaacob sebagai Pengarah Eksekutif / Bakal Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan telah diumumkan pada awal bulan Februari. Barisan penuh Lembaga Pengarah TMI adalah seperti berikut:
Dato’ Azman Mokhtar
Pengerusi (Bukan Bebas)
Dato’ Jamaludin Ibrahim
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan - Pengarah Eksekutif
Dato’ Yusof Annuar Yaacob
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan- Pengarah Eksekutif
Ismael Fariz Ali
Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif
David Lau Nai Pek
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif / Pengerusi Jawatankuasa Audit Lembaga
Datuk Azzat Kamaludin
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif
Tan Sri Ghazzali Sheikh Khalid
Juan Villalonga Navarro
Gita Wirjawan
Dr. Farid Mohamed Sani
Pengarah Gantian kepada Ismael Fariz Ali
Mengalu-alukan pengarah-pengarah baru, Dato’ Azman Mokhtar berkata, “Saya amat gembira mengalu-alukan sekumpulan ketua-ketua korporat dan perniagaan yang ternama ini ke Lembaga Pengarah TMI. Pengetahuan dan pengalaman mereka yang luas tentunya akan membantu dalam mengemudi panduan strategik dan prestasi TMI, dalam ia mengatur langkah menjadi pengendali mudah alih terkemuka di Asia Selatan / Asia Tenggara. Saya pasti akan terdapat sesi-sesi perbincangan yang menarik semasa mesyuarat-mesyuarat Lembaga Pengarah yang akan datang.”
Dato’ Jamaludin Ibrahim berkata, “TMI tentunya akan mendapat manfaat daripada perspektif luas, pendangan strategik dan kemahiran perniagaan yang dibawakan oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah ini. Saya akan berkerja erat dengan Lembaga Pengarah, yang mempunyai pengalaman berharga untuk TMI yang kini dalam fasa pembangunannya yang menarik.”
Ahli-ahli Lembaga Pengarah dipilih daripada latarbelakang yang pelbagai, selepas satu proses pencarian dan pemilihan yang terperinci. Dilantik ke Lembaga Pengarah TMI adalah:
En. David Lau Nai Pek (Warga Malaysia)David Lau, 55, mempunyai lebih 30 tahun pengalaman profesional dalam bidang kewangan dan organisasi kewangan terkemuka di pelbagai lokasi seluruh dunia. Beliau telah berkhidmat dengan Kumpulan Shell selama 25 tahun dengan menyandang pelbagai jawatan di New Zealand, Australia, Brunei, Malaysia, United Kingdom, Republik Rakyat China dan Belanda. Ketika ini, beliau memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kewangan, Shell International Exploration and Production, B.V., The Hague, Belanda.
Beliau adalah seorang akauntan bertauliah dan ahli bersekutu Persatuan Akauntan New Zealand dan juga ahli Institut Akauntan Malaysia. David memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari Universiti Canterbury, New Zealand.
Datuk Azzat Bin Kamaludin (Warga Malaysia)Datuk Azzat, 62 ialah seorang peguam dan rakan kongsi firma perundangan Azzat & Izzat. Beliau adalah lulusan Universiti Cambridge dengan ijazah dalam bidang Undang-undang dan Undang-undang Antarabangsa pada 1969 dan diterima sebagai peguam di Middle Temple, London pada 1970. Sebelum dilantik sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya pada 1979, beliau telah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik dalam pelbagai tugas di Kementerian Hal Ehwal Luar Malaysia yang bertanggungjawab menjalankan pelbagai tugas.
Pada masa ini, beliau juga adalah Pengarah Affin Holdings Berhad, Boustead Holdings Berhad, KPJ Healthcare Berhad, Pulai Springs Resort Berhad, Celcom (Malaysia) Berhad, Visdynamics Holdings Berhad dan pelbagai lagi syarikat sendirian berhad. Beliau berkhidmat sebagai ahli Suruhanjaya Sekuriti pada 1 Mac 1993 hingga 21 Mac 1999.
Ismael Fariz Ali (Warga Malaysia)Ismael Fariz Ali, 46, kini menyandang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif, Pelaburan di Khazanah Nasional Berhad. Sebelum ini, Fariz ialah Pengarah Urusan firma modal penerokaan teknologi, FirstFloor Capital Sdn Bhd yang mana beliau adalah salah seorang daripada pengasasnya pada tahun 2000. Selama tujuh tahun sebagai peneraju firma tersebut, Fariz terlibat dengan penubuhan beberapa tabung penerokaan yang terdiri daripada pelbagai jenis iaitu tabung teknologi awal kepada tabung peringkat mezanin.
Sebelum itu, Fariz berkhidmat dengan Kumpulan AMMB selama 16 tahun dan pengalaman beliau meliputi bidang kewangan korporat, penswastaan, penggabungan dan pengambilalihan, projek infrastruktur kewangan, penyusunan semula struktur dan khidmat nasihat strategi korporat. Fariz telah berkhidmat di pelbagai Lembaga Pengarah termasuk Celcom Berhad, ValueCap Sdn. Bhd., Pharmaniaga Berhad dan RBH Bank Berhad. Beliau juga ialah ahli Majlis Pembangunan Modal Penerokaan Malaysia (MVCDC).
Fariz memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Iowa dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran Perniagaan dari Knox College, Illinois, di mana beliau ialah penolong pensyarah dalam bidang Sains Komputer.
Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid (Warga Malaysia)Tan Sri Ghazzalli, 57 dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat pada 19 April 1998. Ghazzali ialah seorang diplomat sejak 1971. Sebelum perlantikan beliau ke Washington DC, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Hal Ehwal Luar. Pengalamannya selama bertahun-tahun berkhidmat di seberang laut termasuk negara-negara Hong Kong, Jerman, Austria, Thailand, Bangsa-bangsa Bersatu di New York, United Kingdom dan Zimbabwe. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi dari Universiti La Trobe di Australia.
Juan Villalonga Navarro (Warga Sepanyol)Juan Villalonga, 54 kini merupakan seorang pelabur global di London. Beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Espirito Santo Financial Holding di Sepanyol.
Dari tahun 1996 sehingga 2000 beliau merupakan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Telefonica, sebuah syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi di Sepanyol. Sebelum menyertai Telefonica, Juan telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Bankers Trust di Sepanyol dan Portugal, Ketua Pegawai Eksekutif, Credit Suisse First Boston di Sepanyol dan merupakan seorang rakan kongsi di McKinsey & Co., sebuah firma perundingan, selama sembilan tahun.
Juan berkelulusan Undang-undang dan Ekonomi dari Deusto University, sebuah universiti yang berprestij di Sepanyol dan memiliki Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan daripada Institute of Advanced Economic Studies di Barcelona.
Gita Wirjawan (Warga Indonesia)En Gita Wirjawan, 42 kini merupakan Pengarah Urusan dan Pegawai Kanan Negara JP Morgan di Indonesia. Sebelum ini, Gita merupakan Naib Presiden Kanan, Pembangunan Perniagaan Antarabangsa di ST Telemedia. Sebelum ini juga, beliau merupakan ahli perbankan kanan di Goldman Sachs dan Citibank.
Gita juga merupakan seorang yang aktif dalam perkhidmatan awam. Beliau merupakan ahli Dewan Perniagaan Indonesia dan menganggotai jawatankuasa biodisel/tenaga diperbaharui Presiden selain jawatankuasa pembangunan infrastruktur Naib Presiden.
Gita memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam daripada Kennedy School of Government, Universiti Harvard di mana beliau juga merupakan Mason Fellow. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana dari Universiti Baylor dan Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Texas.
Dr Farid Mohamed Sani (Warga Malaysia)Dr Farid, 32 kini merupakan Naib Presiden Kanan, Pejabat Pengarah Urusan di Khazanah. Beliau telah menyertai Khazanah sejak 2004 dan juga pernah berkhidmat di Pejabat Pengurusan Transformasi Khazanah. Sebelum itu, Dr Farid merupakan perunding di Mckinsey & Co selama dua tahun.
Dr Farid memperolehi PhD dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari Universiti Cambridge. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan dan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dari Universiti Cambridge dengan pengkhususan dalam Kejuruteraan Kimia. Beliau menamatkan pengajian dengan Ijazah Kelas Pertama.
Terdahulu, Lembaga Pengarah TMI telah menerima perletakan jawatan empat pengarah TMI sedia ada. Mereka termasuklah Dato’ Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Dato’ Bazlan Osman, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM, Dato’ Lim Kheng Guan, Pengarah di TM dan En Ganen Sarvanathan, Pengarah Eksekutif di Khazanah Nasional Berhad.
Dato’ Azman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah-Pengarah tersebut dan mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan mereka. “Ahli-ahli Lembaga Pengarah ini telah memberi sumbangan yang tidak ternilai, pandangan yang bernas, sokongan dan juga nasihat-nasihat yang amat berguna dalam mengemudikan TMI menerusi perluasan perniagaan di tahun-tahun kebelakangan ini. Khidmat mereka yang tidak berbelah bagi dan profesionalisme mereka akan sentiasa dikenang.”
Mengenai TMTelekom Malaysia Berhad (TM), sebuah kumpulan maklumat dan komunikasi serantau yang terkemuka, menawarkan perkhidmatan dan penyelarasan komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk talian tetap, mudahalih, data dan jalur lebar. Sebagai salah satu syarikat senaraian awam yang terbesar di Bursa Malaysia dengan hasil operasi lebih daripada RM17.8 billion, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif.
Kumpulan sentiasa memberikan tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya. Kini, dengan pelaburan dan operasi di 13 buah negara sekitar Asia dan secara global, TM memfokuskan kepada pembangunan yang berterusan baik dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembangunan sukan dan pembinaan masyarakat/negara. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Dari aspek sukan, TM menyumbang secara aktif ke arah meningkatkan taraf bola sepak tempatan dari seluruh peringkat manakala di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai kepada masyarakat dan negara, amnya.
Pada 28 September 2007, TM telah mengumumkan bahawa ia akan mengambil langkah Pengasingan bagi mengasingkan perniagaan mudah alih dan talian tetapnya. Langkah ini akan mewujudkan dua entiti telekomunikasi berbeza dengan strategi dan aspirasi perniagaan tersendiri iaitu RegionCo (TMI) sebagai entiti mudah alih serantau dan FixedCo (TM) sebagai entiti jalur lebar domestik. Langkah ini dijangka selesai menjelang suku kedua tahun 2008.
Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my.
Click here for English version