Bertemakan ‘Enhancing Leadership Position In Directional Media Industry’, Persidangan ADPAI 2008 akan membincangkan arah aliran media digital dan mudah alih masa kini dan persidangan ini merupakan ruang yang tepat untuk ahli-ahli ADPAI berkongsi idea dan pengalaman untuk terus maju dalam persekitaran yang kompetitif ini.
Bercakap di majlis perasmian Persidangan tersebut, Khairussaleh Ramli, Pengerusi TMIM, berkata: “TMIM berasa bangga menjadi tuan rumah untuk persidangan tahunan ini di Kuala Lumpur. Selari dengan objektif ADPAI, kita seharusnya menggunakan persidangan ini untuk bertukar-tukar kemahiran pengurusan, pengetahuan dan teknologi serta amalan dan standard terbaik perniagaan bagi meningkatkan lagi industri penerbitan direktori di rantau ini, dengan matlamat akhirnya untuk mengukuhkan perniagaan kita.”
Persidangan tahun ini dihadiri oleh 78 peserta dari 14 buah negara dengan kertas-kertas pembentangan dari penceramah-penceramah antarabangsa dari Australia dan Amerika Syarikat.
Topik-topik yang akan dibincangkan pada persidangan tahun ini antara lain, termasuklah Electronic directory, Mobile directory dan monetizing search.
ADPAI, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang dianggotai oleh syarikat-syarikat yang terlibat dalam perniagaan direktori, telah ditubuhkan pada 1993. Pertubuhan ini mensasarkan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dan membina hubungan lebih meluas di kalangan syarikat penerbitan direktori di Asia serta memulakan kajian-kajian penting untuk industri berkenaan. Ia juga mempunyai objektif untuk bertukar-tukar kemahiran pengurusan, pengetahuan dan teknologi serta amalan dan standard terbaik perniagaan di kalangan anggota-anggotanya bagi meningkatkan lagi industri penerbitan direktori di rantau ini
Pertubuhan tersebut mempunyai lebih daripada 30 anggota dari negara-negara Asia dan Timur Tengah termasuklah Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam, Thailand, Hong Kong, India, Sri Lanka, China, Macau, Jepun, Korea, Filipina, Brunei, Fiji dan Australia.
Persidangan ADPAI diadakan setiap tahun dan salah satu negara anggota akan menjadi tuan rumah.
Dalam majlis yang sama, TMIM telah menandatangani perjanjian dengan PCCW Hong Kong Directory Limited tentang penggunaan Integrated Publishing Management System (IPMS). Pembelian sistem baru itu akan membolehkan TMIM, sebagai penerbit direktori rasmi di Malaysia, menguruskan pangkalan data pengiklannya yang besar dengan lebih cekap dan berkesan.
Mengulas tentang perjanjian itu, Khairussaleh berkata, “Dengan IPMS, yang akan mula digunakan dalam tempoh 6 bulan, TMIM akan memiliki pengurusan sumber jualan dan penyediaan laporan jualan yang berkesan. Sistem tersebut juga akan menyediakan pemantauan prestasi jualan secara online dalam pelbagai dimensi. Justeru, TMIM boleh memantau keadaan jualan dengan lebih baik, memiliki data dengan integriti yang lebih tinggi dan memperoleh laporan dari mana-mana lokasi pada bila-bila masa.”
Selain itu, dengan sistem yang bersepadu itu, Syarikat dapat menjimatkan masa pada proses-proses kerja yang rumit.
“Perjanjian dengan PCCW Hong Kong Directory Limited ini merupakan satu lagi usaha TMIM untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam perniagaan direktori sambil terus berada di hadapan selaras dengan kemunculan media-media baru di sekeliling kita pada masa kini,” akhiri Nasser Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif TMIM.
Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my