Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Zalekha Hassan sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif yang baru dalam Lembaga Pengarah TM berkuatkuasa 9 Januari 2008, menggantikan Dato’ Ahmad bin Haji Hashim yang meletakkan jawatan sebagai Pengarah TM pada 7 Januari 2008. Puan Dyg Sadiah bt Abg Bohan yang tamat tempoh khidmat sebagai pengarah ganti kepada Dato’ Ahmad pada 7 Januari 2008, telah turut dilantik menjadi pengarah ganti kepada Datuk Zalekha berkuatkuasa 9 Januari 2008.
Datuk Zalekha memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian) dari Universiti Malaya dan memulakan kerjaya beliau dalam khidmat awam negara pada tahun 1977 sebagai Penolong Pengarah di bahagian Latihan dan Pembangunan Kerjaya, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Beliau terus berkhidmat dalam Kerajaan di pelbagai kementerian termasuklah Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebajikan Masyarakat, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat sebelum memulakan kerjaya beliau di Kementerian Kewangan pada tahun 1998 sebagai Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Belanjawan.
Sejak itu, beliau terus berkhidmat dengan MOF dengan memegang pelbagai jawatan. Datuk Zalekha telah bertugas di Bahagian Pengurusan Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan selama 7 tahun sebelum memegang jawatan beliau sekarang sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) di Kementerian Kewangan.
Pada masa ini, beliau turut menjadi pengarah di Konsortium Baja Nasional Berhad dan pengarah ganti di Tenaga Nasional Berhad.
Tan Sri Dato’ Ir. Md Radzi Mansor, Pengerusi TM, bagi pihak Lembaga Pengarah, menyatakan penghargaan beliau atas sumbangan Dato’ Ahmad bin Haji Hashim sepanjang khidmat beliau sebagai Pengarah serta mengalu-alukan Datuk Zalekha dan bekerjasama dengan beliau kerana Datuk Zalekha memiliki pengalaman luas dalam bidang kewangan dan pentadbiran dalam perkhidmatan awam.
Mengenai TMTelekom Malaysia Berhad (TM), sebuah kumpulan maklumat dan komunikasi serantau yang terkemuka, menawarkan perkhidmatan dan penyelarasan komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk talian tetap, mudah alih, data dan jalur lebar. Sebagai salah satu syarikat senaraian awam yang terbesar di Bursa Malaysia dengan hasil operasi lebih daripada RM16 billion, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif.
Kumpulan sentiasa memberikan tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya. Kini, dengan pelaburan dan operasi di 13 buah negara sekitar Asia dan secara global, TM memfokuskan kepada pembangunan yang berterusan baik dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembangunan sukan dan pembinaan masyarakat/negara. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Dari aspek sukan, TM menyumbang secara aktif ke arah meningkatkan taraf bola sepak tempatan dari seluruh peringkat manakala di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai kepada masyarakat dan negara, amnya.
Click here for English version