TM
DAN PDRM BEKERJASAMA UNTUK KEMPEN KESELAMATAN
DI JALAN RAYA
Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan kerjasama
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini
melancarkan kempen tahunan Ops Sikap yang
akan berlangsung dari 23 September sehingga
8 Oktober 2008. Kempen Ops Sikap yang
ke-17 ini dilancarkan oleh Pemangku Ketua
Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri
Ismail bin Haji Omar di Dataran Shah Alam,
Selangor.
Bersempena dengan pelancaran kempen Ops
Sikap, PDRM turut melancarkan talian bebas-tol
Ops Sikap ke-17, iaitu 1800 88
2677, yang disumbangkan oleh
TM. Para pengguna jalanraya boleh menggunakan
talian tersebut untuk melaporkan kesesakan
trafik, kemalangan jalan raya, meminta
bantuan, mendapatkan laporan jalanraya
dan lain-lain lagi.
Di majlis pelancaran tersebut, yang turut
dihadiri oleh wakil-wakil dari Majlis
Bandaraya Shah Alam, Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ), sekolah-sekolah dan universiti-universiti
berhampiran serta syarikat-syarikat pengangkutan,
Tan Sri Dato’ Seri Ismail bin Haji
Omar telah melepaskan konvoi motosikal,
kereta dan lori bagi memberi lebih penekanan
terhadap mesej kempen tersebut.
Kempen keselamatan jalan raya Ops Sikap
ini diadakan di seluruh nagara pada setiap
tahun pada musim-musim perayaan untuk
mempromosikan cara pemanduan yang berhemah
dan bersopan-santun di kalangan pengguna-pengguna
jalan raya. Dengan musim cuti perayaan
yang semakin hampir, kempen keselamatan
jalan raya ini juga bertujuan untuk meningkatkan
kesedaran di kalangan orang awam mengenai
cara pemanduan yang selamat untuk sampai
ke destinasi masing-masing. Kempen tahun
ini yang bertemakan “Pandu Berhemat,
Semua Selamat”, akan memfokus kepada
etika pemanduan yang selamat dan keselamatan
jalan raya.
Penunggang-penunggang motosikal akan
menjadi fokus di operasi - operasi sekatan
jalan di bawah Ops Sikap ke-17 yang akan
bermula pada 24 September ini, selaras
dengan bermulanya cuti musim perayaan.
PDRM akan turut memfokuskan kepada pelbagai
kesalahan umum trafik di sepanjang kempen
Ops Sikap ini seperti memandu di lorong
kecemasan, kesalahan melanggar lampu isyarat,
menggunakan telefon bimbit semasa memandu
dan memotong barisan. Kenderaan berat
tidak akan dibenarkan melalui lebuhraya-lebuhraya
pada 27-28 September dan pada 4 -5 Oktober.
Sepanjang Ops Sikap, kira-kira 2 juta
pengguna jalan raya dijangka akan menyertai
pesta ‘balik kampung’ untuk
ke destinasi masing-masing dari bandar-bandar
utama terutamanya kawasan berpenduduk
padat seperti Lembah Klang.
Selain daripada pelancaran Ops Sikap
peringkat kebangsaan, kempen ini juga
akan turut dilancarkan di peringkat negeri
oleh Ketua-Ketua Polis Negeri di seluruh
negara dari 24 September sehingga 1 Oktober
2008.
TM menyumbang sejumlah RM250,000 bagi
menyokong kempen kemasyarakatan ini dengan
menyediakan bahan-bahan publisiti merangkumi
7,000 poster, 100 banting, 50 kain rentang,
8,000 pelekat kereta, 30,000 pelekat motosikal
dan 10,000 Buku Maklumat Trafik PDRM.
Poster-poster dan buku-buku maklumat berkenaan
akan diagihkan kepada orang ramai manakala
kain-kain rentang pula akan dipasang di
sepanjang lebuhraya-lebuhraya utama. Di
samping itu, iklan-iklan juga akan dipaparkan
di media massa tempatan bagi menyampaikan
mesej kempen Ops Sikap ke-17 kepada orang
ramai yang menggalakkan gaya pemanduan
yang selamat.
Sewaktu majlis pelancaran, Dato’
Adnan Rofiee, Ketua Pegawai Operasi, TM
Retail, TM, berkata, “Kerjasama
berterusan TM dengan PDRM membuktikan
dedikasi kami kepada masyarakat. Komitmen
kami terhadap kempen Ops Sikap ini juga
merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab
Korporat atau Corporate Responsibility
(CR) kami kepada negara. Tambahan pula,
TM sentiasa prihatin terhadap tahap keselamatan
di dalam mahupun di luar organisasi kami.
Penglibatan kami di dalam Ops Sikap ke
17 ini adalah sebahagian daripada usaha
kami untuk memupuk nilai-nilai kesabaran,
serta bertujuan memberikan kesedaran kepada
semua pengguna jalan raya, dari pemandu
bas sehinggalah ke penunggang-penunggang
motosikal tentang betapa pentingnya menjaga
sikap dan cara pemanduan berhemah ketika
berada di jalan raya, yang mana ianya
boleh mengurangkan kadar kemalangan di
jalan raya Malaysia, terutamanya semasa
musim perayaan ini di mana jalan-jalan
raya sesak dengan kenderaan yang ingin
pulang ke kampung.”
Tahun ini merupakan tahun ke-11 berturut-turut
TM mengambil bahagian sebagai penaja di
dalam Ops Sikap. TM berharap bahawa kerjasamanya
dengan PDRM dalam Ops Sikap ke-17 ini
akan meningkatkan tahap kesedaran orang
ramai mengenai kepentingan cara pemanduan
yang baik dan menggalakkan penglibatan
dan pemahaman di kalangan pengguna-pengguna
jalanraya bagi memastikan perjalanan yang
selamat untuk semua.
Sempena pelancaran tersebut, TM dan PDRM
turut menganjurkan sebuah karnival dari
21 sehingga 23 September 2008 bertempat
di Dataran Shah Alam. Antara gerai-gerai
pameran yang mengambil bahagian termasuklah
TM, yang mempamerkan produk dan perkhidmatan
TM dan juga gerai pameran PDRM, yang menyediakan
sebuah kaunter untuk pembayaran saman
trafik. Satu pameran mengenai keselamatan
jalan raya juga diadakan di karnival tersebut
bagi mengingatkan orang ramai tentang
kepentingan penggunaan jalan raya secara
positif.
Mengenai TM
Telekom Malaysia Berhad (TM), sebuah
syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu
terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan
dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh
dalam bentuk jalur lebar, data dan talian
tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam
perniagaan jalur lebar dan talian tetap,
TM sentiasa bergerak ke arah memberikan
nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya
dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan
juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha
peningkatan kualiti dan inovasi khidmat
pelanggannya.
Dengan rangkaian globalnya yang meluas,
TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai
hab Internet serantau dan gerbang digital
bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu,
TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi
pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi
Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan
kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan
produk dan perkhidmatan yang diperkaya.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat
(CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang
korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti
bermanfaat dengan berpendirian bahawa
amalan sedemikian merupakan rukun asas
kepada urus tadbir korporat yang baik.
Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu
pendidikan, pembangunan sukan dan pembinaan
masyarakat/negara. Dalam pendidikan, TM
telah membelanjakan kira-kira RM800 juta
untuk membangunkan Universiti Multimedia
menjadi salah satu universiti terkemuka
di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000
orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa
kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan
program akademik di dalam dan luar negara.
Dari aspek sukan, TM menyumbang secara
aktif ke arah meningkatkan taraf bola
sepak tempatan di seluruh peringkat manakala
di bawah platform pembinaan masyarakat/negara,
Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha
yang memberi nilai buat masyarakat dan
negara, amnya. TM telah dianugerahkan
dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM
Corporate Responsibility untuk kategori
Tempat Kerja bagi tahun 2008.
Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari
www.tm.com.my
Click here for English version
|