About TMAbout TM

About TM

Newsroom

 

News Release


22 May 2008
Kuala Lumpur
 

TM CATAT HASIL SUKU PERTAMA LEBIH TINGGI SEBANYAK RM2,005.9 JUTA

Hasil Runcit terus meningkat, menyumbang 80.4% kepada keseluruhan hasil
Pelanggan jalur lebar Kumpulan cecah 1.4 juta


Telekom Malaysia Berhad (TM), pembekal komunikasi generasi akan datang terkemuka dan peneraju jalur lebar di Malaysia, hari ini mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2008. Keputusan kewangan ini menunjukkan prestasi TM, tidak termasuk sumbangan daripada TM International Berhad dan Celcom (M) Berhad berikutan pengasingan Kumpulan yang telah selesai pada 25 April 2008. Dari segi proforma, TM mencatatkan hasil sebanyak RM2,005.9 juta bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2008, peningkatan 2.4% berbanding RM1,958.8 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu. Keputusan ini disumbangkan terutamanya oleh perkhidmatan jalur lebar dan data yang mencatatkan pertumbuhan 25.6%. Jumlah pelanggan jalur lebar TM meningkat kepada 1.4 juta daripada 0.9 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

TM merekodkan Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (EBITDA) sebanyak RM611.5 juta berbanding RM948.6 juta yang direkodkan pada suku pertama tahun 2007. EBITDA terjejas berikutan caj-caj sekali (one-off charges) seperti peruntukan hutang ragu sebanyak RM117.8 juta untuk penghutang VoIP asing tertentu dan kos Skim Opsyen Saham Anggota (ESOS) sebanyak RM60.6 juta. Tidak termasuk caj-caj sekali berkenaan, EBITDA yang dinormalisasi bagi 1Q 2008 ialah RM832.7 juta dengan margin 41.0%.

Berikutan penurunan EBITDA, Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) turut menurun kepada RM114.4 juta berbanding RM246.1 juta pada suku pertama tahun 2007. Tidak termasuk caj sekali, PATAMI yang dinormalisasi untuk suku tahun ini ialah RM253.3 juta.

Bercakap dalam taklimat media, Dato’ Zamzamzairani Mohd. Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM, berkata, “Perniagaan runcit kami terus mencatatkan momentum positif dengan peningkatan hasil sebanyak 3.9% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Hasil runcit datang daripada segmen perniagaan, jalur lebar dan data yang berkembang pesat dan ini menyumbang 80.4% kepada keseluruhan hasil. Kami telah melangkah maju dengan komitmen berterusan terhadap usaha-usaha Program Peningkatan Prestasi (PIP) kami. Sebagai contoh, kami gembira dengan pertumbuhan kukuh dan momentum positif jalur lebar yang kami kecapi pada masa ini dalam segmen perusahaan. Selain itu, kami juga gembira kerana perniagaan runcit TM telah berjaya menangani penurunan hasil suara dengan mengurangkan kadar penurunan iaitu 5.2% berbanding 9.8% pada suku pertama tahun 2007”.

Komposisi hasil TM adalah seperti berikut:

Komposisi Hasil
Q1 2008
(RM juta)
%
Sumbangan
Q1 2007
(RM juta)
%
Sumbangan
Runcit
1,613
80
1,553
4
Pukal 195 10 159 23
Global 172 8 165 4
Lain-lain 136 7 192 (29)
Antara-segmen (110) (5) (110) -
JUMLAH 2,006 100 1,959 2

Dato’ Zamzamzairani menambah, “Kami sedar biarpun perniagaan-perniagaan kami terus menampakkan pertumbuhan, pada masa yang sama, kami juga perlu menguruskan kos secara berkesan, terutamanya pengurusan kredit dan kos-kos langsung (direct cost). Mendapatkan pembayaran dan mengurangkan hutang (Receivables) kini merupakan salah satu KPI utama bagi pasukan jualan kami. Objektif pengasingan adalah untuk mempercepatkan peningkatan operasi dan usaha-usaha pertumbuhan menerusi ketelusan prestasi, organisasi berfokus dan kapasiti pelaksanaan yang lebih baik. Melangkah ke hadapan, kami mengutamakan beberapa inisiatif tertentu bagi meningkatkan prestasi kami merentasi aspek pertumbuhan hasil, pengurusan kos dan modal. Ini termasuklah, antaranya, mengembangkan pasaran jalur lebar dan perusahaan kami, menguruskan modal bekerja (working capital) dan aktiviti pemerolehan secara lebih efektif dan mempercepatkan proses monetisasi (monetisation) aset-aset bukan teras.”

PROJEK JALUR LEBAR BERKELAJUAN TINGGI (HSBB)

Kerajaan telah mengumumkan bahawa TM akan terlibat dalam Perkongsian Awam-Swasta (Public-Private Partnership – PPP) bagi melaksanakan infrastruktur dan perkhidmatan HSBB. Kos pelaburan HSBB bagi Fasa 1 adalah kira-kira sebanyak RM11.3 bilion dengan TM menyumbang sebanyak RM8.9 bilion untuk tempoh 10 tahun. Kerajaan pula akan turut menyumbang sebanyak RM2.4 bilion atau satu perlima daripada jumlah keseluruhan kos untuk tempoh tiga tahun. Perkhidmatan HSBB dijangka akan dapat dinikmati oleh 1.3 juta premis. TM akan memainkan peranannya dengan menyumbang ke arah mewujudkan sebuah ekosistem industri buat Malaysia.

Perjanjian antara Kerajaan dan TM dijangka akan dimeterai pada bulan Jun 2008.

MELANGKAH KE HADAPAN

Dengan selesainya langkah pengasingan antara perniagaan mudah alih dan talian tetap, TM akan memantapkan fokusnya terhadap peningkatan operasi dan komersil bagi perkhidmatan-perkhidmatan jalur lebar, data dan suara talian tetapnya.

Khidmat pelanggan akan terus menjadi salah satu keutamaan penting. Kami komited dengan pelanggan kami untuk terus menawarkan kerativiti dan inovasi dalam setiap produk dan perkhidmatan kami serta pada masa yang sama menambah baik penyampaian perkhidmatan di saluran pengedaran dan runcit dan premis khidmat pelanggan kami.

TM menjangkakan perkhidmatan jalur lebar dan datanya akan terus menerima pertumbuhan yang baik. Pengurusan kos kekal menjadi satu cabaran dalam tempoh terdekat, dengan keperluan untuk meningkatkan usaha bagi mencapai keberkesanan operasi. Selain itu, usaha-usaha sedang giat dilakukan ke arah pelaksanaan rangkaian HSBB yang bakal meningkatkan penyampaian khidmat awam dan gaya hidup pelanggan serta meningkatkan daya saing perusahaan-perusahaan di Malaysia. HSBB akan menjadi penggerak penting bagi pertumbuhan negara dan TM bakal mendapat manfaat daripadanya.

Tanpa mengambil kira perkara-perkara di luar jangkaan, Lembaga Pengarah menjangkakan prestasi TM bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008 akan kekal baik.

Mengenai TM

Telekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.

Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.

Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembangunan sukan dan pembinaan masyarakat/negara. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Dari aspek sukan, TM menyumbang secara aktif ke arah meningkatkan taraf bola sepak tempatan di seluruh peringkat manakala di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my.

Click here for English version


« Back