TM SELESAIKAN PENGASINGAN DAN PENYENARAIAN TMI MENJELANG AKHIR APRIL
Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM) yang ke-23 di ibu pejabatnya, Menara TM. Seramai 1,458 orang pemegang saham hadir di AGM tersebut untuk mengundi bagi sepuluh resolusi biasa dan satu resolusi khas yang dibentangkan.
MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE- 23
Pemegang-pemegang saham telah menyokong semua resolusi yang telah dibentang pada AGM tersebut.
“Secara khusus, sukacita saya umumkan bahawa para pemegang saham telah meluluskan dividen kasar akhir sebanyak 22 sen sesaham ditolak cukai 26%. Jumlah ini, berserta dividen kasar interim sebanyak 26 sen sesaham ditolak cukai 27% yang telah dibayar pada bulan September 2007, menjadikan jumlah pembayaran dividen biasa bagi tahun kewangan 2007 sebanyak RM1,212.9 juta, iaitu kadar pembayaran sebanyak 47.6%. Dicampurkan dengan dividen khas sebanyak RM1,654.5 juta yang telah dibayar pada bulan Januari tahun ini kepada para pemegang saham, TM telah memberikan hampir RM3 bilion dividen kepada pemegang-pemegang saham,” kata Tan Sri Dato’ Ir. Md. Radzi Mansor, Pengerusi TM, pada sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat tersebut.
Selain meluluskan pembayaran yuran Pengarah-pengarah, lantikan semula pengarah yang dilantik pada tahun ini dan Pengarah-pengarah yang bersara secara bergilir, pemegang-pemegang saham turut meluluskan mandat baru pemegang-pemegang saham bagi urusniaga-urusniaga berulang dengan pihak berkaitan yang bersifat hasil atau perdagangan (RRPT).
Para pemegang saham juga meluluskan pindaan kepada Tataurus Syarikat bagi memastikan Tataurus ini mematuhi peruntukan kawal selia dan perundangan serta untuk pentadbiran yang efisien.
Semasa mesyuarat, Tan Sri Dato’ Ir. Md. Radzi turut mengumumkan bahawa Dato’ Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, tidak dilantik semula sebagai Pengarah kerana beliau telah meletakkan jawatan dan menerima lantikan sebagai Bakal Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank. Sekali lagi, Tan Sri Dato’ Ir. Md. Radzi menyatakan penghargaan kepada Dato’ Sri Abdul Wahid atas sumbangan besar beliau sepanjang beliau berkhidmat dengan Kumpulan.
PENGASINGAN TM BERJALAN LANCAR UNTUK DISELESAIKAN MENJELANG AKHIR APRIL
Semasa mesyuarat, para pemegang saham turut dimaklumkan bahawa langkah Pengasingan sedang berjalan lancar untuk diselesaikan pada 25 April 2008 sementara TM International Berhad (TMI) akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 April 2008.
Bagi pelaksanaan langkah Pengasingan, saham-saham TM akan didagangkan secara ex-entitlement pada 23 April 2008. Justeru, saham-saham TM akan didagangkan berasaskan perniagaan talian tetap domestik, jalur lebar dan perniagaan-perniagaan lain yang berkaitan tanpa sumbangan daripada TMI dan Celcom. Harga pasaran bagi saham-saham TM akan diselaraskan pada hari tersebut berikutan pembahagian saham-saham TMI kepada pemegang-pemegang saham TM. Hari terakhir pembelian saham TM bagi memperoleh saham TMI adalah pada 22 April 2008. Saham-saham TM yang dibeli bermula dari 23 April 2008 dan seterusnya, tidak layak untuk mendapat saham TMI. Saham-saham TMI akan dikreditkan ke dalam akaun CDS pemegang-pemegang saham TM pada 25 April 2008 dengan sasaran tarikh penyenaraian di Papan Utama Bursa Malaysia pada 28 April 2008.
TM telah mengumumkan pada September 2007 berkenaan cadangan Syarikat melaksanakan langkah Pengasingan bagi mewujudkan dua entiti baru untuk memenuhi keperluan segmen pasaran yang berlainan dalam industri telekomunikasi.
• RegionCo (TMI), yang akan merangkumi operasi mudah alih dan luar negara TM di bawah TM International, dan operasi mudah alih domestik di bawah Celcom (Malaysia) Berhad yang memfokus kepada menjadi pengendali mudah alih serantau sebenar yang berjaya di Asia Selatan dan Tenggara. Dengan jumlah populasi yang tinggi dan kadar penembusan mudah alih yang rendah secara keseluruhannya, portfolio aset pada masa ini menawarkan potensi pertumbuhan yang mantap.
• FixedCo (TM), pula akan mengekalkan perniagaan domestik TM yang disenaraikan dalam bidang talian tetap suara, data dan jalur lebar serta perkhidmatan bukan telekomunikasi lain dan menumpukan kepada meneraju penembusan jalur lebar di Malaysia dengan potensi pertumbuhan jalur lebar di Malaysia yang kukuh. Biarpun menumpukan kepada pertumbuhan dalam perniagaan jalur lebar, TM akan terus memberi perhatian terhadap mempertingkatkan sambungan antarabangsa di rantau ini. Selain menjadikan Malaysia sebagai hab Protokol Internet (IP) serantau, ini juga akan menjadi gerbang digital untuk Asia Tenggara.
“Butiran urusniaga Pengasingan telah dimaklumkan pada bulan Disember tahun lalu dan kami sukacita ingin mengumumkan bahawa kami telah memenuhi semua syarat berkaitan dan mendapat semua kelulusan yang sepatutnya bukan sahaja daripada para pemegang saham tetapi juga daripada pihak kawal selia Malaysia dan yang berkaitan untuk Pengasingan dan penyenaraian TMI. Kami menghargai segala sokongan yang diberikan oleh pihak-pihak berkepentingan dan sesungguhnya ia sesuatu yang menggembirakan untuk menyaksikan satu peristiwa penting dalam transformasi TM akan diselesaikan kelak. Kami yakin TM dan TMI akan terus berjaya dengan peluang-peluang yang ada dan meningkatkan nilai para pemegang saham dengan beroperasi sebagai dua entiti yang mengagumkan. Bagi diri saya sendiri, saya gembira kerana saya akan meninggalkan Syarikat dengan mengetahui bahawa kedua-dua entiti ini mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan bakal mengorak langkah ke arah kejayaan masa di masa hadapan,” jelas Dato’ Sri Abdul Wahid Omar dengan bersemangat.
“Jelas, ini merupakan detik penting bagi Kumpulan TM. Pengasingan ini merupakan satu langkah berani dan strategik dan kami yakin ia menjanjikan yang terbaik buat kedua-dua entiti berasingan ini kerana ia akan mempercepatkan peningkatan prestasi melalui ketelusan prestasi, fokus organisasi dan kapasiti pelaksanaan yang lebih tinggi,” akhiri Tan Sri Dato’ Ir. Md. Radzi.
Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my.
Click here for English version
|