About TMAbout TM

About TM

Newsroom

 

Siaran Akhbar


04 April 2008
Kuala Lumpur
 

TM MENGUMUMKAN JUTAWAN MERDEKANYA

Lebih daripada 1.1 juta penyertaan diterima untuk program “Jutawan Merdeka”

Pelanggan-pelanggan Telekom Malaysia Berhad (TM) kini menikmati gabungan pelbagai produk dan perkhidmatan menerusi pakej-pakej yang menarik hasil program “Jutawan Merdeka”. Program ini telah membolehkan TM mengemaskini pengkalan data profil pelanggan-pelanggannya dan mengenali mereka dengan lebih dekat. Maklumat-maklumat ini juga membolehkan TM untuk menjalankan inisiatif-inisiatif pemasaran yang lebih berkesan terhadap sasarannya.

Dengan lebih daripada 1.1 juta penyertaan yang telah diterima untuk program “Jutawan Merdeka” dan digabungkan pula dengan profil yang diterima semasa program terdahulu, iaitu "Ganjaran RM1 Juta”, TM telah memperkenalkan pelbagai perkhidmatan menarik seperti pakej jalur lebar TM-Celcom ‘Home, Hop and Away’, ‘Streamyx Combo’, iTalk Buddy serta kandungan online yang interaktif dan menarik sepanjang tahun lepas dan tahun ini. Perkhidmatan-perkhidmatan terkini ini direka khusus untuk memenuhi keperluan dan kehendak gaya hidup masa kini dalam pelbagai segmen-segmen pasaran.

Dato’ Zamzamzairani Mohd. Isa, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Business, TM, berkata: “Kami amat gembira dengan bilangan penyertaan yang telah diterima kerana ia melebihi sasaran kami sebanyak 900,000 penyertaan. Ini adalah 30% lebih tinggi dari sasaran kami dan hampir dua kali ganda dari jumlah penyertaan yang diterima pada tahun 2006. Jelas sekali, ini amat menggalakkani, malah ia juga memberi peluang kepada kami untuk memberi ganjaran kepada pelanggan-pelanggan kami dengan pelbagai hadiah-hadiah menarik. Dengan lebih daripada satu juta penyertaan untuk dipilih, sudah pastinya pemenang kali ini sememangnya ‘satu dalam sejuta’. Slogan beliau telah berjaya menambat hati dan mencetuskan imaginasi para juri dengan semangat patriotiknya yang tinggi dan nilai puisi yang mendalam.”

“Sebagai peneraju penyedia perkhidmatan telekomunikasi, TM sentiasa giat dalam usahanya untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang innovatif dan manfaat kepada pelanggan-pelanggan kami. Dengan memperolehi maklumat-maklumat terkini pelanggan-pelanggan, kami dapat mereka pelbagai produk dan perkhidmatan baru khusus untuk memenuhi kehendak dan gaya hidup pelanggan,” tambah Dato’ Zamzamzairani.

Sebuah majlis penyampaian hadiah telah diadakan di Menara TM, Kuala Lumpur hari ini di mana Mohd Rais Saufuan Awang, 25 tahun daripada Kemaman, Terengganu telah membawa pulang hadiah utama wang tunai RM1 juta. Rais, seorang jurutera, adalah pelanggan Celcom sejak tahun 2006. Memenangi hadiah wang tunai ini pastinya memanfaatkan beliau dan membantu meningkatkan kualiti hidup keluarganya. Ayah beliau adalah seorang pesara askar, manakala ibu beliau adalah seorang surirumah. Beliau adalah anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik.

Semasa menyerahkan cek bernilai RM1 juta tersebut, Dato’ Zamzamzairani juga menasihatkan Rais untuk menguruskan wang tersebut dengan bijak, membantu keluarganya, mendermakan kepada yang memerlukan, memulakan perniagaan atau membuat pelaburan.

Dalam majlis tersebut, pemenang bulanan untuk November dan Disember peraduan ini juga telah diumumkan. Pemenang-pemenang hadiah pertama tersebut telah membawa pulang pakej percutian ke Beijing, China untuk menyaksikan pertandingan Olimpik untuk dua orang bernilai RM 15,000. Pemenang bertuah untuk bulan November ialah Teo Hock Yeo; manakala Wan Abdul Rahim Wan Mohd Isa telah memenangi hadiah untuk bulan Disember.

Pakej percutian tersebut adalah salah satu daripada sepuluh Hadiah Bulanan yang telah diberikan kepada sepuluh pemenang bulanan sebagai sebahagian daripada program penghargaan pelanggan ini. Pemenang kedua, ketiga, keempat dan kelima memenangi pakej percutian ‘Cuti-cuti Malaysia’ untuk empat orang bernilai sehingga RM5,000 setiap seorang; manakala lima pemenang-pemenang yang lain menerima hadiah sebuah telefon bimbit Nokia 3G.

Program Jutawan Merdeka yang bermula pada bulan Mei 2007, adalah kesinambungan daripada program terdahulu iaitu Program ‘Ganjaran RM1 Juta’ yang telah dianjurkan dalam tahun 2006. Tahun lalu, program ini dinamakan ‘Jutawan Merdeka TM’ sempena perayaan ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-50. Inisiatif ganjaran ini adalah salah satu usaha syarikat dalam menghargai pelanggan-pelanggan setianya. Dalam peraduan RM 1 juta yang terdahulu, Abdul Razak Mat, seorang tukang kayu dari Pasir Putih, Kelantan, telah memenangi Hadiah Utama iaitu wang tunai RM1 juta.

Sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-50, pelanggan-pelanggan TM telah diberi peluang untuk meluahkan perasaan dan pandangan mereka terhadap 50 tahun kemerdekaan Malaysia melalui slogan dalam borang penyertaan agar dapat menyuntik semangat patriotisme di kalangan mereka.

Kali ini, TM telah menawarkan hadiah yang lebih menarik untuk peraduan tahun 2007, termasuklah sebuah Proton Perdana sebagai Hadiah Khas Merdeka dan sepuluh hadiah bulanan sepanjang lapan bulan, selain dari hadiah harian berupa rebat berjumlah RM100 untuk bil TM mereka.

Apa yang menarik adalah 40% daripada penyertaan yang diterima adalah penyertaan secara online yang jelas menggambarkan penggunaan teknologi maklumat yang meningkat di kalangan masyarayat Malaysia. Pelanggan hanya perlu mengikuti arahan yang diberi semasa mengisi borang penyertaan secara online yang membantu memastikan maklumat yang lebih tepat dan lengkap diberi, dan pada masa yang sama, menjadikan proses tersebut lebih mudah, cepat dan dilakukan secara serta-merta.

“Melihat kejayaan program ini, TM akan sentiasa melihat kepada sebarang kemungkinan untuk menganjurkan program-program sebegini untuk menghargai para pelanggan kami,” ujar Dato’ Zamzamzairani.

Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my.

 

Click here for English version


« Back