TM TAWAR ESOS KHAS
Telekom Malaysia Berhad hari ini mengumumkan ia akan melaksanakan satu Skim Opsyen Saham Anggota (ESOS) Khas buat semua anggota Kumpulan bagi memastikan kejayaan langkah Pengasingan. Dengan skim ini, sejumlah 137,592,300 saham biasa TM pada harga RM1.00 setiap satu yang merupakan kira-kira 4% modal terbitan dan berbayar TM, telah diterbitkan kepada TM ESOS Management Sdn. Bhd. yang telah dilantik sebagai pemegang amanah (trustee) di bawah ESOS Khas ini.
Pada bulan September tahun lalu, TM mengumumkan bahawa Syarikat sedang melaksanakan langkah pengasingan bagi mengasingkan perniagaan mudah alih dan talian tetapnya kepada dua entiti berbeza iaitu TM (FixedCo) dan TMI (RegionCo). TM telah mendapat persetujuan para pemegang sahamnya berkenaan langkah pengasingan ini, penyenaraian TMI dan ESOS Khas dalam satu Mesyuarat Agung Luar Biasa pada 6 Mac 2008.
“ESOS Khas yang akan dilaksanakan ini adalah berbeza daripada skim-skim yang kami laksanakan sebelum ini. ESOS Khas ini direka bagi memastikan pelarasan dan kerjasama berterusan antara anggota TM dan TMI bagi tempoh 18 bulan berikutnya, iaitu tempoh kritikal dalam langkah Pengasingan. Secara purata, seorang anggota akan menerima lebih banyak saham di bawah ESOS Khas ini berbanding skim-skim sebelum ini. Selain itu, kelebihan lain ESOS Khas ini termasuklah tawaran saham TMI dan peluang berurus niaga tanpa risiko menerusi kaedah “Selling Flexibility”,” kata Dato’ Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM.
Hanya anggota yang telah berkhidmat dengan Syarikat lebih daripada setahun sahaja yang layak untuk menikmati skim ini. Perbezaan utama antara ESOS Khas ini dengan skim terdahulu ialah ESOS Khas ini diadakan atas dasar untuk mengiktiraf “kesetiaan masa depan” (forward loyalty) para anggota, berbanding “kesetiaan masa lalu” (past loyalty) dalam skim-skim terdahulu.
“Pengasingan merupakan satu langkah korporat yang sangat penting bagi TM, dan untuk berjaya, ia memerlukan komitmen dari semua anggota. Sokongan anggota adalah mustahak terutama semasa peringkat awal selepas pengasingan di mana kedua-dua syarikat mula beroperasi sebagai entiti berbeza,” tambah Dato’ Sri Abdul Wahid.
“Objektif utama Syarikat melaksanakan ESOS Khas ini adalah untuk memastikan para anggota kekal bersama Syarikat dan terus memberikan tumpuan sepanjang tempoh Pengasingan. Anggota perlu memastikan operasi tidak terganggu dan kehendak pelanggan tidak dikompromi. Kualiti perkhidmatan terus menjadi keutamaan kami dan kami akan bekerja keras bagi memastikan khidmat pelanggan kami tidak terjejas. Sebagai ganjaran terhadap kesetiaan dan komitmen anggota sepanjang 18 bulan yang kritikal ini, para pemegang saham telah bersetuju melaksanakan ESOS Khas ini. Atas tujuan yang sama, saham-saham di bawah skim ini akan diagihkan secara berperingkat, iaitu 40% pada hari ini, 30% pada 17 September 2008 dan 30% lagi pada 17 Mac 2009. Sebagai contoh, mereka yang tidak lagi berkhidmat dengan TM atau TMI mulai 1 Julai 2008 hanya akan mendapat 40% sahaja daripada jumlah peruntukan saham ESOS,” jelas Dato’ Sri Abdul Wahid.
Kenapa ESOS Khas dilaksanakan sebelum langkah Pengasingan selesai
ESOS TM terdahulu yang dikenali sebagai ESOS 3 telahpun tamat pada 31 Julai 2007. Memandangkan langkah Pengasingan yang telah dicadangkan, seharusnya ESOS untuk tempoh 5 tahun yang baru, sekiranya ada, hanya akan dilaksanakan selepas langkah Pengasingan selesai, di mana anggota TM (FixedCo) hanya akan menikmati skim saham TM manakala anggota TMI (RegionCo) hanya akan menikmati skim saham TMI. Walau bagaimanapun, pihak Pengurusan berjaya meyakinkan Lembaga Pengarah dan pemegang saham tentang pentingnya ESOS Khas untuk tempoh 18 bulan ini dilaksanakan sebelum langkah Pengasingan. Ini membolehkan anggota TM mendapat manfaat daripada opsyen saham TMI yang dijangka bakal disenaraikan di Bursa Malaysia.
Jumlah Peruntukan Saham
Jumlah saham yang diperuntukkan kepada anggota bagi ESOS Khas ini adalah lebih banyak daripada berbanding ESOS sebelum ini, jika diambil kira tempohnya yang lebih singkat. Sebagai contoh:
- Di bawah ESOS 3 yang telah dilaksanakan selama 5 tahun (2002 hingga 2007), purata saham yang diberi kepada anggota bukan eksekutif ialah 5,167 saham seorang. Jumlah ini merangkumi tempoh 5 tahun ESOS 3, atau purata 1,550 saham untuk tempoh 18 bulan.
- Di bawah ESOS Khas, anggota bukan eksekutif dengan gred lebih tinggi akan menerima 3,000 saham manakala mereka yang mempunyai gred lebih rendah akan mendapat 2,000 saham. Jumlah ini adalah lebih tinggi daripada jumlah purata 1,550 yang disebutkan di atas.
Justeru, secara purata, para anggota akan menerima jumlah saham yang lebih banyak di bawah skim ini berbanding ESOS 3 yang telah tamat Julai tahun lalu.
Kelebihan-kelebihan lain ESOS Khas Pengasingan
Selepas penyenaraian TM International Berhad (TMI) pada bulan hadapan, bagi setiap saham TM yang dipegang, para anggota akan menerima satu saham TMI. Ini akan membolehkan mereka mendapat manfaat daripada pertumbuhan kedua-dua syarikat, tanpa mengira sama ada mereka berkhidmat di TM atau TMI.
“Selain itu, TM telah memperkenalkan kaedah “Selling Flexibility” bagi memudahkan urusniaga anggota. Dengan kaedah ini, mereka tidak perlu mencari pembiayaan untuk menebus saham mereka. Ini bermakna, mereka tidak perlu membayar faedah atas pinjaman dan bebas daripada risiko “forced selling” sekiranya harga jatuh lebih rendah daripada harga tebusan saham. Oleh itu, apabila mereka telah bersedia untuk menjual saham-saham mereka, mereka hanya perlu menghubungi pihak yang membantu dalam menguruskan kaedah ini, dan para anggota akan menerima keuntungan bedasarkan perbezaan Harga Urus niaga dengan Harga Tawaran. Memandangkan mereka tidak perlu mengeluarkan wang atau mengambil pinjaman bagi menebus ESOS ini, meraka mempunyai masa yang cukup untuk menebus saham-saham tersebut sebelum tarikh akhir 16 September 2009. Tarikh akhir 16 September 2009 ini juga terpakai untuk mereka yang bersara wajib, berhenti atas sebab kesihatan (Medical Board-out – MBO) dan kematian.”
“Jelas di sini ESOS Khas ini mempunyai pelbagai kelebihan dan TM telah memudahkan para anggota untuk melakukan urus niaga opsyen dan kami berharap mereka akan mengambil peluang daripada skim khas ini,” akhiri Dato’ Sri Abdul Wahid.
Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my.
Click here for English version
|