TM MENYOKONG PERLUMBAAN BASIKAL ANTARABANGSA
Untuk dua belas tahun berturut-turut, Telekom Malaysia Berhad (TM) terus memberikan sokongan kepada Le Tour de Langkawi (LTdL), sebuah pertandingan lumba basikal peringkat antarabangsa. TM telah menyumbang kepada perlumbaan tersebut sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1996 dan bermula tahun 2001, TM telah meningkatkan sumbangan tajaannya ke peringkat yang lebih tinggi, menjadikan Syarikat sebagai Penaja Acara perlumbaan ini.
Untuk tahun 2008, TM sebagai Pembekal Komunikasi Rasmi, akan melengkapi Sekretariat dan Pusat Media di setiap peringkat perlumbaan dengan kemudahan komunikasi termasuklah telefon talian tetap, faks, capaian Internet dan komputer riba. Selain itu, TM juga akan menyediakan kemudahan penyiaran untuk wakil-wakil media tempatan dan antarabangsa sepanjang perlumbaan tersebut. TM juga akan memberikan 300 orang tenaga kerja dari kalangan anggotanya, termasuklah 40 orang untuk tujuan staging serta kemudahan pengangkutan yang terdiri daripada 15 buah lori tiga-tan, genset, trak tunda dan pacuan 4 roda untuk perlumbaan ini, menunjukkan komitmen TM ke arah memastikan kejayaan acara ini.
Dengan sumbangan berbentuk barangan bernilai RM1.4 juta, TM sebagai salah satu penaja utama, telah diberikan penghormatan dengan Jersi Kuning. Jersi tersebut, yang akan dipakai oleh pemenang keseluruhan perlumbaan, akan memaparkan logo Kumpulan TM. Majlis penyerahan Jersi Kuning tersebut telah diadakan di Menara TM hari ini dan jersi berkenaan telah diserahkan kepada pihak penganjur, Kementerian Belia dan Sukan.
Di majlis tersebut, TM telah diwakili oleh Zainab Hashim, Naib Presiden, Integrated Marketing, Malaysia Business, TM manakala Kementerian telah diwakili oleh Datuk Naim Mohamad, Ketua Pegawai Operasi LTdL 2008.
Bercakap di majlis tersebut, Zainab Hashim berkata: “Tahun ini menandakan tahun ke-13 penglibatan TM dalam acara berbasikal tahunan ini dan ia merupakan bukti komitmen berterusan TM ke arah pembangunan sukan negara, bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah di peringkat antarabangsa.”
“Penajaan ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TM di bawah pendekatan tiga penjurunya iaitu pembangunan sukan, pendidikan dan pembinaan masyarakat/negara. Sumbangan TM ke arah tujuan sebegini menggambarkan komitmen TM ke arah pembangunan negara bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga dari segi sosial kerana aktiviti-aktiviti sukan sebegini memupuk masyarakat dengan gaya hidup sihat. Selain itu, selepas 12 tahun, LTdL telah menjadikan Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan sukan yang digemari dan TM berbangga menjadi sebahagian daripada acara tahunan ini,” tambah beliau lagi.
Selain LTdL, di bawah platform pembangunan sukan, TM turut memberikan sokongan kepada liga bola sepak kebangsaan, TM Liga Malaysia, pertandingan kapal layar antarabangsa, Monsoon Cup, SUKMA dan TM Uni-League, pertandingan futsal antara universiti-universiti tempatan.
Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my.
Click here for English version
|