MAJLIS MAKAN MALAM "HARI IBU & BAPA" 2004 TIARANITA
Kuala Lumpur, 22/5/2004 - TIARANITA iaitu Persatuan Isteri-Isteri dan Anggota Wanita Telekom Malaysia hari ini telah mengadakan Majlis Makan Malam "Hari Ibu dan Bapa".sempena dengan Hari Ibu dan Hari Bapa tahun 2004.
Bertemakan "Semakin Hari Semakin Sayang" majlis makan malam ini diadakan bertujuan untuk meraikan para ibu dan bapa anggota-anggota Telekom Malaysia bersempena dengan hari tersebut. Pada malam ini, para ibu dan bapa, telah diberikan penghargaan dan penghormatan di atas segala jasa mereka dalam mendidik dan membesarkan anak-anak mereka. Di samping itu, majlis ini juga bertujuan untuk memupuk semangat kekeluargaan di kalangan ahli-ahli TIARANITA.
TIARANITA telah ditubuhkan pada 4 Julai 1992 mempunyai ahli seramai lebih kurang 800 orang di seluruh negara. Ia mempunyai cawangan di kawasan Utara, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak. Objektif penubuhan TIARANITA adalah:
- Menjaga kebajikan para ahli dan keluarga mereka di Telekom Malaysia.
- Menerapkan semangat muhibbah dan keakraban di kalangan ahli-ahlinya yang berbilang kaum
- Menggalakkan perkembangan pengetahuan dan kemahiran di kalangan ahlinya melalui program-program motivasi, ceramah, kursus dan seminar
- Menganjurkan program-program kebajikan untuk memungut derma dan menyalurkannya kepada badan-badan yang memerlukannya.
Majlis ini telah dihadiri oleh Y.Bhg. Datin Noriah Mohd Yusof, Presiden TIARANITA dan Y.Bhg. Dato' Dr. Md. Khir Abdul Rahman, Ketua Eksekutif Telekom Malaysia. Y.Bhg. Puan Seri Datin Aizah Dato' Mahmood dan Y.Bhg. Tan Sri Dato Ir. Mohd Radzi Mansor, Pengerusi Telekom Malaysia turut hadir sebagai tetamu kehormat di majlis makan malam tersebut.
|